KAPTEN Liverpool, Virgil van Dijk, memberi amaran tegas kepada pemain The Reds agar tidak sesekali menganggap gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah dalam genggaman gergasi England tersebut.
Peringatan daripada tonggak pertahanan kental hadir selepas Liverpool mengalami kekecewaan berganda, tersingkir dari Liga Juara-Juara dan tewas dalam final Piala Liga.
Liverpool masih berpeluang meraih satu trofi musim ini dengan kelebihan 12 mata dan sembilan perlawanan berbaki.
Beliau mengingatkan rakan sepasukannya bahawa perjalanan masih panjang, dan sebarang kesilapan boleh meranapkan impian mereka.
"Kita semua perlu sedar, tugas belum selesai. Kita perlu bekerja keras untuk mencapai matlamat musim ini" tegas Van Dijk.
Ditanya sama ada gelaran EPL akan mengubati kekecewaan kekalahan baru-baru ini, Van Dijk berkata,"Semoga begitu, tetapi kita tidak boleh berfikir seperti itu.
"Sebaliknya kita perlu bangkit semula. Inilah lumrah bola sepak... dalam lima hari, kita kalah dua kali dan dunia seolah-olah runtuh. Dua minggu sebelum itu, semuanya cerah dan indah."
Van Dijk, yang terlepas peluang untuk menjulang trofi kedua berturut-turut di Wembley, kini menyertai skuad Belanda untuk dua perlawanan Liga Negara-Negara menentang Sepanyol.
Beliau perlu menunggu sehingga 2 April depan untuk perlawanan liga seterusnya Liverpool, menentang Everton di Stadium Anfield.
"Kita berjuang untuk hadiah terbesar, yang diusahakan sejak awal musim. EPL adalah salah satu hadiah terbesar, dan kita juga mengejar trofi lain.
"Liga Juara-Juara kita gagal, Piala Liga kita kalah, dan Piala FA kita tersingkir. Kini, kita ada sembilan perlawanan berbaki, dan saya rasa tidak perlu ada motivasi tambahan untuk menyelesaikan tugas ini," kata Van Dijk.
Van Dijk menekankan bahawa Liverpool perlu segera bangkit daripada kekecewaan dan fokus sepenuhnya kepada baki perlawanan liga.