MEDAN - Pasangan suami isteri yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga ditahan polis selepas dipercayai mencuri bawang putih dari sebuah gudang di Jalan Berlian, Medan Johor, Indonesia.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polrestabes Medan, Ajun Komisaris Besar Polisi (AKBP) Bayu Putro Wijayanto berkata, Wiellianto, 29, dan Umi Kalsum Pulungan, 27, ditahan selepas didapati mencuri lapan guni bawang putih milik peniaga, Winama Suhardi.
"Siasatan mendapati kejadian curi itu berlaku sejak Februari lalu dan pasangan ini telah beberapa kali masuk ke gudang bersama seorang lagi rakan mereka yang dikenali sebagai M.
Menurutnya, Wiellianto membuka gudang menggunakan kunci palsu sebelum melarikan bawang putih menaiki sebuah kereta.
"Kesemua hasil curi itu dijual kepada seorang lagi suspek dikenali sebagai R di Pasar Simpang Limun pada harga 400,000 rupiah Indonesia atau RM118 bagi setiap guni.
"Hasil jualan pula digunakan untuk menampung kehidupan harian mereka,” jelasnya.
Tambah Bayu, kedua-dua suspek kini direman selepas disahkan sebagai tertuduh, manakala dua lagi suspek termasuk M dan R sedang dikesan pihak berkuasa.
"Pasangan suami isteri ini baru dua bulan berkahwin dan sudah terbabit dalam kes curi. Kita sedang buru dua lagi suspek," katanya. - Agensi