PUTRAJAYA - Proses rakaman keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya ditangguhkan pada Rabu.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung proses rakaman percakapan Ahli Parlimen Bera yang tidak diadakan pada Selasa.
"Proses rakaman keterangan Ismail Sabri akan disambung esok, namun waktu belum ditetapkan," katanya.
Terdahulu, pengamal media menunggu Ismail Sabri di hadapan Ibu Pejabat SPRM di sini sejak jam 9 pagi.


Ismail Sabri disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada Isnin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, sesi rakaman percakapan akan diteruskan kerana masih banyak perkara yang perlu disoal dan dijawab oleh Ismail Sabri.
Azam berkata, siasatan tidak tertumpu kepada isu berkaitan perolehan serta perbelanjaan dana bagi promosi Keluarga Malaysia sahaja, tetapi turut menjurus kepada maklumat baharu serta hasil risikan termasuk fail-fail serta dokumen yang dibuka berkaitan aset yang diisytiharkan Ismail Sabri.
Selain itu, Ismail Sabri juga perlu menjawab mengenai isu-isu rasuah yang dikaitkan serta ditohmahkan terhadap beliau untuk membantu siasatan.
Pada 3 Mac lalu, Azam dilaporkan berkata, Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah 'safe house', hasil serbuan SPRM.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun bank bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ismail Sabri sudah tampil memberi keterangan kepada SPRM pada Januari 2024 berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta untuk publisiti kerajaan semasa pentadbirannya.
Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri telah menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lalu.
Ismail Sabri sepatutnya dijadualkan hadir pada 5 Mac lalu untuk memberi keterangan, namun tidak dapat hadir ekoran masalah kesihatan dan diberi sijil cuti sakit.
Beliau telah hadir merakam percakapan pada Khamis selepas tempoh cuti sakit tamat pada 12 Mac lalu.
Ismail Sabri turut hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk sambung rakam keterangan bagi membantu siasatan pada Jumaat dan Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah merekodkan keterangan 32 saksi dan empat bekas pegawai Ismail Sabri yang ditahan berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.