TAPAH - Kajian terperinci perlu dilakukan sebelum membuat sebarang keputusan terhadap pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu bagi memastikan semua pihak dapat melihat secara menyeluruh impak pelaksanaannya dari aspek positif dan negatif.
"Ia ada pro dan kontra. Sebahagian orang berpendapat perlu dihadkan kerana jika lama-lama akan membuka ruang mencengkam dan menyalah guna kuasa.
"Di pihak lain, kalaulah seorang pemegang jawatan itu baik dan berfungsi dengan elok, barangkali dua penggal pertama itu baru peringkat dia nak membangunkan, penggal pertama merancang, penggal kedua nak membangun.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Saarani berkata demikian ketika mengulas kesediaan kerajaan untuk meminda had tempoh jawatan tersebut seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18, Ahad lalu.


Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berharap, kerajaan melaksanakan manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) lalu dengan meminda perlembagaan dalam tempoh 24 bulan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Mengulas lanjut, Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata, seorang Perdana Menteri yang berwawasan pastinya mempunyai perancangan pembangunan negara untuk jangka masa yang panjang.
"Jadi kalau kita matikan peluang dia untuk meneruskan wawasan itu, barang kali akan merugikan negara.
"Tetapi kalau difikirkan, mungkin juga jadi dia menyalahgunakan kuasa... terpulang kepada individu itu," katanya.
Dalam majlis itu, seramai 300 ketua isi rumah daripada kalangan penerima bantuan JKM daerah Batang Padang terutama kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menerima sumbangan bakul makanan daripada kerajaan negeri.