GAZA - Sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak terkorban selepas tentera Israel melancarkan serangan udara berskala besar di Semenanjung Gaza awal pagi Selasa.
Pada pertengahan bulan penuh kemuliaan Ramadan, serangan yang disifatkan sebagai yang terbesar sejak gencatan senjata yang dimeterai pada 19 Januari lalu itu turut memusnahkan kawasan kediaman serta kemudahan awam di beberapa lokasi di wilayah berkenaan.
Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, dalam satu kenyataan di platform X mengesahkan operasi ketenteraan itu.
"Berdasarkan arahan kepimpinan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan Shin Bet sedang melancarkan serangan besar-besaran terhadap sasaran Hamas di seluruh Semenanjung Gaza," katanya.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri Israel dalam satu kenyataan berkata, serangan berkenaan dibuat susulan kegagalan Hamas membebaskan tebusan Israel seperti yang dipersetujui dalam perundingan sebelum ini.
"Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz telah mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap Hamas selepas kumpulan itu berulang kali menolak cadangan yang dikemukakan oleh Utusan Presiden Amerika Syarikat, Steve Witkoff serta perantara lain," menurut kenyataan itu.
Menurut IDF, operasi ketenteraan akan diteruskan sehingga semua tebusan dibebaskan, sama ada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia.
"Mulai saat ini, Israel akan bertindak dengan kekuatan ketenteraan yang lebih besar terhadap Hamas. Pelan operasi ini telah diluluskan oleh kepimpinan politik," tambah kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, Hamas menuduh Israel sengaja mencabul perjanjian gencatan senjata dengan melancarkan serangan yang mengorbankan orang awam.
"Kerajaan Netanyahu dan rejim Zionis mesti bertanggungjawab atas pencabulan serta pembatalan perjanjian gencatan senjata ini," kata Hamas dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Rumah Putih mengesahkan bahawa Israel telah mendapatkan pandangan Amerika Syarikat sebelum melancarkan serangan udara tersebut.
"Seperti yang ditegaskan oleh Presiden Donald Trump, Hamas, Houthi, Iran serta semua pihak yang cuba mengancam Israel dan Amerika Syarikat akan menerima padahnya," kata jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt kepada Fox News.
Israel juga berikrar tidak akan menghentikan operasi ketenteraan sehingga semua tebusan mereka dibebaskan.
"Kami akan memastikan bahawa jika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu menghentikan perang di Gaza, mereka perlu memastikan pembebasan tebusan kami terlebih dahulu," kata Duta Israel ke PBB, Danny Danon.
Sejak konflik tercetus pada Oktober 2023, lebih 48,500 rakyat Palestin terkorban akibat serangan Israel, sebahagian besarnya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Serangan tanpa henti itu turut menyebabkan kemusnahan besar di seluruh Gaza, dengan hampir keseluruhan infrastrukturnya musnah dan penduduknya terpaksa hidup dalam keadaan yang semakin kritikal.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant pada November tahun lalu atas dakwaan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan.
Israel kini turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangan terhadap Semenanjung Gaza. -Agensi