Lelaki ditampar warga emas: Kertas siasatan dirujuk ke TPR sebelum Jumaat

Iklan
M Kumar (tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada Selasa. M Kumar (tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada Selasa.
M Kumar (tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada Selasa.

ISKANDAR PUTERI – Polis akan merujuk kertas siasatan kes seorang warga emas yang menampar lelaki bukan beragama Islam di sebuah kedai serbaneka dalam pusat beli-belah di Johor Bahru kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selewat-lewatnya Jumaat ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, lelaki warga tempatan berusia 65 tahun itu telah dirakam percakapannya pada Isnin bagi membantu siasatan kes terbabit.

Iklan
Iklan

"Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun, telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan, manakala suspek serta beberapa saksi, termasuk anaknya, sudah dirakam percakapan.

"Doktor yang merawat mangsa juga akan dirakam percakapan. Kertas siasatan akan dirujuk kepada TPR sebelum Jumaat ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, pada Selasa.

Iklan

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahinder Singh, dalam kenyataannya memaklumkan bahawa mangsa membuat laporan mengenai insiden tersebut pada jam 9.08 malam, Ahad.

Beliau berkata, mangsa mendakwa ditampar dua kali pada pipi kanan oleh seorang lelaki tidak dikenali selepas suspek bertanya mengenai agamanya dan meminta MyKad miliknya.

Iklan

Menurutnya, keengganan mangsa menyerahkan kad pengenalannya menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum dia ditampar.

Insiden itu menjadi tular selepas video pertengkaran antara kedua-dua lelaki tersebut dimuat naik ke laman X oleh pemilik akaun @bingbinge656, pada Ahad.

Mangsa menerusi ciapan di aplikasi X mendakwa warga emas itu bertanya sama ada beliau beragama Islam atau sebaliknya sebelum meminta untuk melihat kad pengenalannya.

Dalam pada itu, Kumar meminta orang ramai supaya berhenti mencetuskan spekulasi berhubung insiden berkenaan kerana boleh menggugat keamanan dan keharmonian.

"Insiden ini adalah kes terpencil dan jarang berlaku. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia sangat mengutamakan toleransi.

"Oleh itu, jangan mengambil tindakan sendiri kerana pihak berkuasa bertanggungjawab mengendalikan perkara ini. Orang awam boleh menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dan bukan bertindak sendiri,” katanya.