SEREMBAN – Dua kakitangan Jabatan Belia dan Sukan daerah ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan menggunakan invois dan dokumen palsu berkaitan perkhidmatan fotografi serta promosi media sosial bagi perlumbaan motorcross Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Zon Selatan 2022.
Tertuduh, Pegawai Belia dan Sukan, Rosdi Pilus, 50, dan Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Mohd Saiful Abdul Talib, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, mereka didakwa menggunakan dokumen sebagai tulen, iaitu invois perkhidmatan fotografi, dokumentasi dan promosi media sosial bagi perlumbaan motorcross KBS Zon Selatan 2022 bertarikh 9 dan 13 Februari 2023 atas nama Ad Suria Enterprise, dengan jumlah keseluruhan RM4,000.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Seremban, antara Februari hingga Mei 2023.
Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fatin Nur Athirah Zainuddin, menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin warganegara bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana masing-masing menanggung isteri dan dua orang anak.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin warganegara.
Sementara itu, di kamar mahkamah yang sama, Mohd Saiful turut mengaku tidak bersalah atas empat lagi pertuduhan menggunakan dokumen palsu, iaitu resit perkhidmatan pas petugas dan resit bayaran air mineral berjumlah keseluruhan RM1,133.60 bertarikh 10 hingga 12 Februari atas nama Puncak Pateh Enterprise dan Riang Tinggi Enterprise.
Kesemua kesalahan itu dilakukan pada masa dan lokasi yang sama.
Pendakwaan turut dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.
Mahkamah membenarkan Mohd Saiful diikat jamin RM5,000 bagi empat pertuduhan tersebut dan sebutan semula kes ditetapkan pada 16 April depan bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.