Polis rampas ganja bernilai hampir RM500,000

Iklan
Mat Zaini (dua dari kiri) menunjukkan bunga ganja dirampas. Mat Zaini (dua dari kiri) menunjukkan bunga ganja dirampas.
Mat Zaini (dua dari kiri) menunjukkan bunga ganja dirampas.

KEPALA BATAS - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah jenis ganja dengan penangkapan dua lelaki di Plaza Tol Sungai Dua dan Plaza Tol Juru di sini, pada Sabtu lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu berjaya merampas 146.6 kilogram (kg) ketulan mampat ganja serta 1.08kg bunga ganja bernilai hampir RM500,000.

Iklan
Iklan

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya menahan suspek pertama berusia 46 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V di Plaza Tol Sungai Dua menghala ke selatan.

Mat Zaini (dua dari kiri) menunjukkan ganja dirampas daripada sindiket. Mat Zaini (dua dari kiri) menunjukkan ganja dirampas daripada sindiket.
Mat Zaini (dua dari kiri) menunjukkan ganja dirampas daripada sindiket.

Mat Zani berkata, suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak agresif dan cuba meloloskan diri dengan merempuh kenderaan anggota, namun usahanya tidak berhasil apabila berjaya ditangkap.

Iklan

"Pemeriksaan dalam kenderaan terbabit menemui tujuh guni berisi ketulan mampat ganja dan bunga ganja dipercayai mahu dihantar ke Lembah Klang.

"Turut ditemui sepucuk pistol jenis Sig Sauer, dua kelopak peluru kosong dan tiga gari dalam kenderaan terbabit," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, di sini pada Selasa.

Iklan

Susulan tangkapan itu, Mat Zani berkata, pihaknya berjaya menangkap seorang lagi ahli sindiket bertindak sebagai 'sweeper' di Plaza Tol Juru arah selatan.

Jelasnya, suspek kedua berusia 24 tahun berperanan memastikan kelancaran proses penghantaran dadah ke lokasi dituju, namun berjaya diberkas polis yang terlebih dahulu mengesan modus operandi mereka.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek bekerja sebagai pemandu lori dibayar RM4,000 setiap seorang sekiranya berjaya membuat penghantaran.

"Siasatan juga mendapati sindiket ini aktif sejak awal tahun ini dan akan menggunakan kenderaan disewa untuk melakukan penghantaran.

"Semua dadah ini diseludup masuk dari Thailand dan akan dihantar bersama barangan pakej lain (pistol dan gari) untuk dihantar dan diedar di Lembah Klang," katanya lagi.

Pistol dan gari diseludup dari Thailand dihantar bersama ganja oleh ahli sindiket ke Lembah Klang.

Tambahnya, dalam dua serbuan itu polis turut merampas wang tunai RM5,710 dan beberapa barang kemas selain menyita dua kenderaan digunakan suspek.

Dalam pada itu, semakan dibuat mendapati kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah, malah suspek pertama didapati positif dadah jenis THC.

"Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Buat masa ini, kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut mengesan rangkaian sindiket masih bebas," tambahnya.