KUALA TERENGGANU – Wang simpanan berjumlah RM62,109 milik seorang pesara lesap selepas terpedaya skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, warga emas lelaki berusia 73 tahun mendakwa menerima mesej daripada nombor tidak dikenali pada 28 Februari lalu, menawarkan pelaburan bermodalkan RM400 dengan pulangan RM8,500 dalam tempoh 48 jam.
"Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu membuat beberapa pembayaran tambahan selepas dijanjikan keuntungan lebih besar, kononnya untuk upah pemprosesan keuntungan.
"Mangsa melakukan 18 transaksi ke dalam sembilan akaun berbeza milik suspek," katanya di sini pada Selasa.
Beliau berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kes itu pada Isnin dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa membuat pemindahan wang ke dalam sembilan akaun bank berbeza, dipercayai milik sindiket penipuan.
"Kami sedang mengenal pasti pemilik akaun ini dan siasatan berhubung kes ini masih diteruskan,” katanya.
Menurutnya, modus operandi sindiket adalah dengan menjanjikan keuntungan luar biasa bagi menarik mangsa supaya membuat pembayaran berulang kali.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil membantu siasatan.
"Kami menasihatkan orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan pelaburan dalam talian yang menawarkan pulangan tidak masuk akal," tambahnya.