PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan pemilihan pemain dalam skuad kebangsaan bergantung kepada keserasian mereka dengan falsafah bola sepak menyerang yang ingin diterapkannya.
Jurulatih berusia 46 tahun itu menitikberatkan keupayaan pemain untuk menguasai bola, bermain secara agresif, serta berusaha menjaringkan sebanyak mungkin gol sambil mengekalkan pertahanan yang kukuh sepanjang perlawanan.
"Saya mahukan pemain Malaysia yang sesuai dengan corak permainan saya. Saya mahu bola sepak menyerang, agresif, dan pasukan mengawal bola dengan baik.
"Ia selaras dengan matlamat utama untuk menjaringkan gol sebanyak mungkin sambil memastikan pasukan kekal kuat dari aspek pertahanan.
"Jika ada yang bertanya mengenai formasi, ia mungkin 3-4-3 atau 4-2-3-1," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi sulung Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 25 Mac ini.
Mengulas mengenai persediaan pasukan, Cklamovski berkata, walaupun kebanyakan pasukan memilih untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebelum musim bermula, beliau lebih selesa memberi tumpuan kepada latihan taktikal dan fizikal.
Keputusan itu, katanya, membolehkan pemain lebih bersedia menghadapi aksi kompetitif pertama mereka menentang Nepal.
"Keputusan ini dibuat kerana kami mahu lebih banyak masa latihan bersama. Ini memberi kami kawalan terhadap tempo permainan dan membolehkan pasukan berkembang secara taktikal serta fizikal dengan lebih baik.
"Saya yakin pendekatan ini akan memberi kelebihan kepada kami menjelang perlawanan pertama nanti.
"Jika melihat sejarah saya, formasi 4-2-3-1 lebih boleh diharapkan, tetapi kami juga bekerja dengan sistem 3-4-3. Namun bagi saya, formasi bukan perkara utama. Yang penting ialah bagaimana pasukan bermain, bersikap agresif dengan bola, menyerang, serta bertahan dengan baik bagi mengelakkan lawan mendapat peluang," katanya.