Empat individu berdepan hukuman mati miliki, edar dadah lebih 31kg

Iklan
Kesemua tertuduh tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Johor Bahru, pada Selasa.

JOHOR BAHRU - Empat individu termasuk seorang wanita berdepan hukuman mati atas tiga pertuduhan memiliki dan mengedar pelbagai jenis dadah dengan berat lebih 31 kilogram, awal bulan ini.

Tertuduh, K Satish Kumar, 32, B Letchumanan, 43, S Pavatraj, 18, dan C Lavanya, 30, mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua tertuduh dituduh bersama-sama bagi mencapai niat bersama telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat kasar 31,900 gram.

Iklan

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah apartment di Jalan Tebrau 1, Tebrau pada jam 12.15 tengah malam 5 Mac lalu.

Oleh itu, mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, kesemua tertuduh secara bersama-sama telah didapati dalam milikan mereka dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 13.50 gram dan nimetazepam dengan anggaran berat kasar 2.20 gram.

Perbuatan mereka itu dilakukan pada hari dan waktu yang sama serta tempat yang sama bagi pertuduhan pertama.

Oleh itu, mereka dituduh melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Keempat-empat tertuduh hendaklah dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan dikenakan sebatan tidak kurang daripada tiga sebatan dan tidak lebih dari sembilan sebatan, jika disabit kesalahan.

Mereka juga boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan didenda tidak lebih daripada RM100,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 18 Jun sebagai sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.