GEORGE TOWN - Pulau Pinang terus memperkukuh usaha pembaharuan bandar dengan mengenal pasti enam projek perintis di bawah inisiatif Pembaharuan Semula Bandar (PSB) melibatkan 6,837 unit kediaman sedia ada.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S Sundarajoo berkata, langkah ini seiring dengan usaha kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan Akta PSB bagi memastikan projek pembangunan semula dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
"Projek-projek ini bertujuan memperbaharui kawasan kediaman lama yang berusia lebih 40 tahun serta mengalami kemerosotan struktur.
"Antara projek yang telah berjaya dilaksanakan ialah PSB Mahsuri, yang menjadi projek pertama di Pulau Pinang menamatkan skim strata sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
"Projek ini bukan sahaja menawarkan kediaman baharu yang lebih luas dan moden kepada kira-kira 300 isi rumah di unit-unit rumah kos rendah lama, malah memberikan peningkatan kualiti hidup yang lebih baik kepada penduduk.
"Pemilik rumah lama yang sebelum ini tinggal dalam unit bersaiz antara 247 kaki persegi hingga 547 kaki persegi akan menerima rumah gantian lebih besar, berkeluasan antara 850 kaki persegi hingga 900 kaki persegi.
"Lebih penting, mereka juga akan mendapat pelbagai kemudahan komuniti serta tempat letak kenderaan secara percuma,” jelasnya.
Sundarajoo menambah, dakwaan kononnya PSB akan menjejaskan hak golongan berpendapatan rendah (B40) adalah tidak berasas kerana setiap projek dilaksanakan dengan rundingan bersama pemilik tanpa sebarang unsur paksaan.
"Kerajaan negeri sentiasa memastikan hak dan kepentingan semua pemilik rumah sedia ada terpelihara dalam pelaksanaan PSB,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Pulau Pinang menyokong penuh Rang Undang-Undang PSB yang dicadangkan kerajaan Persekutuan dan berharap ia dapat diluluskan serta dilaksanakan segera demi kesejahteraan rakyat.
"Akta ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar yang lebih sistematik, meningkatkan daya huni dan memastikan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
"Ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan bandar dan kebajikan rakyat, yang harus disokong semua pihak tanpa mengira perbezaan politik,” katanya.
Tambah beliau, usaha ini menunjukkan kesungguhan Pulau Pinang dalam merancang pembangunan bandar secara inklusif dan mampan, sejajar dengan aspirasi negara untuk mewujudkan persekitaran kehidupan lebih berkualiti bagi rakyat.