Pas gesa Wisma Putra tingkat usaha lindungi sukarelawan, hak rakyat Palestin

Iklan
Takiyuddin Takiyuddin
Takiyuddin

SHAH ALAM - Kerajaan melalui Wisma Putra digesa supaya meningkatkan usaha dan mengambil semua langkah perlu bagi melindungi keselamatan sukarelawan kemanusiaan serta hak rakyat Palestin daripada serangan berterusan Israel.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dalam konteks ini juga tekanan antarabangsa harus dikenakan ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu atas pencerobohan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, serangan udara terbaharu itu juga dilihat turut menghalang fasa kedua rundingan gencatan senjata dengan tujuan melanjutkan fasa pertama pertukaran tahanan tanpa melaksanakan langkah-langkah kemanusiaan dan ketenteraan yang dipersetujui sebelum ini.

"Pas mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu rejim Israel ke atas Gaza yang mengorbankan lapan sukarelawan kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Sabtu lepas.

Iklan

"Justeru Pas menyokong penuh gesaan Mapim agar pemimpin dunia, badan-badan kemanusiaan dan masyarakat awam mengutuk serangan tersebut dan pihak-pihak yang bertanggungjawab ke atasnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, seramai lapan petugas kemanusiaan Mapim terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Israel di Beit Lahiya, utara Gaza, pada Sabtu.

Iklan

Serangan itu berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari waktu tempatan ketika mereka mendirikan khemah bagi menempatkan keluarga pelarian yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berterusan di wilayah tersebut.

Sementara itu, media antarabangsa melaporkan lebih 100 orang terbunuh selepas Israel melancarkan gelombang serangan udara besar-besaran ke atas Gaza pada awal pagi Selasa, mangsa yang sebahagian besarnya wanita serta kanak-kanak.

Serangan terbaharu itu menyasarkan beberapa lokasi utama termasuk Bandar Gaza, Deir al-Balah, Khan Younis, dan Rafah, menjadikannya serangan paling dahsyat sejak gencatan senjata bermula pada 19 Januari lalu.

Serangan besar-besaran kali ini dilancarkan susulan gagalnya usaha untuk memeterai lanjutan gencatan senjata yang dipersetujui pada 19 Januari lalu.

Fasa awal gencatan senjata sebelum ini menyaksikan 33 tebusan Israel dan lima warga Thailand dikembalikan oleh Hamas di Gaza sebagai pertukaran untuk kira-kira 2,000 tahanan Palestin.

Israel dengan sokongan Amerika Syarikat (AS), mendesak untuk pembebasan baki 59 tebusan yang masih ditahan di Gaza sebagai pertukaran untuk gencatan senjata jangka panjang, sekali gus menghentikan pertempuran sehingga selepas Ramadan, bulan puasa umat Islam dan cuti Paskah Yahudi pada April.

Bagaimanapun, Hamas berkeras dan mendesak rundingan dimulakan segera bagi menamatkan perang secara kekal dan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza, mengikut syarat asal perjanjian gencatan senjata.