BAYAN BARU – Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam tentera Israel yang mengorbankan lapan sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dalam misi kemanusiaan di Beit Lahiya, utara Gaza, pada Sabtu lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan telah mengeluarkan bantahan rasmi terhadap keganasan berterusan rejim Zionis.
"Kita mengutuk keras pembunuhan dan kezaliman ke atas sukarelawan MAPIM yang bertugas demi kemanusiaan untuk membantu pesakit dan pelarian di Gaza," katanya selepas Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pulau Pinang di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta barisan pimpinan Kerajaan Pulau Pinang.
Terdahulu, seramai lapan petugas kemanusiaan MAPIM terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Israel yang berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari waktu tempatan.
Ketika kejadian, mangsa sedang mendirikan khemah bagi menempatkan keluarga pelarian yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berterusan di wilayah tersebut.
Lapan petugas kemanusiaan yang terkorban telah dikenal pasti sebagai Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad.
Untuk rekod, sehingga kini, MAPIM telah berjaya mendirikan 1,000 khemah bagi menempatkan pelarian yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan udara berterusan di Gaza.