ANKARA - Kumpulan Palestin Hamas pada Selasa menyeru protes dan perhimpunan global bagi membantah genosid berterusan oleh Israel di Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
Pihak berkuasa tempatan Gaza sebelum ini melaporkan lebih 322 rakyat Palestin terbunuh atau hilang selepas Israel menyambung semula serangannya ke atas Gaza, sekali gus mencabuli perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Januari.
Dalam satu kenyataan, pegawai kanan Hamas, Izzat al-Rishq menyeru negara Arab dan Islam, serta masyarakat dunia yang cintakan kebebasan,"untuk turun ke jalanan dan dataran awam, menyuarakan penolakan terhadap penyambungan semula perang pembunuhan beramai-ramai Zionis ke atas penduduk Gaza."
"Netanyahu bukan sahaja menghalang kemasukan makanan dan ubat-ubatan kepada mereka; dia juga mengebom dan membunuh kanak-kanak Gaza ketika mereka sedang tidur," kata al-Rishq.
Beliau menambah bahawa keputusan Netanyahu untuk menyambung semula perang di Gaza"adalah keputusan untuk mengorbankan tahanan pihak pendudukan dan satu hukuman mati terhadap mereka."
Al-Rishq turut menggesa para perantara dan pemimpin dunia supaya mendedahkan kebenaran mengenai tindakan Israel dan memastikan Netanyahu bertanggungjawab kerana mencetuskan semula konflik.
"Tidak kira tekanan ketenteraan dan keganasan Zionis yang kejam, ia tidak akan berjaya melemahkan semangat rakyat kami dan perjuangan kami," kata pegawai Hamas itu.
Tentera Israel pada awal Selasa berkata pihaknya telah melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza, yang terbesar sejak gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari.
Tentera itu mendakwa serangan tersebut menyasarkan lokasi Hamas di Gaza.
Bagaimanapun, imej dari Gaza menunjukkan bahawa sebahagian besar mangsa adalah orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang kediaman mereka dibom pada waktu malam.
Meskipun gencatan senjata berkuat kuasa, pihak berkuasa tempatan di Gaza sebelum ini telah melaporkan pelanggaran hampir setiap hari oleh tentera Israel.
Serangan Israel telah mengorbankan lebih 48,500 rakyat Palestin sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sekali gus menghancurkan Gaza. - Bernama-Anadolu