Rakyat Syria bergelut dengan krisis ekonomi berterusan

Iklan
Syria terjerumus dalam krisis ekonomi selama lebih sedekad akibat perang, sekatan antarabangsa dan kemerosotan infrastruktur. Foto AFP Syria terjerumus dalam krisis ekonomi selama lebih sedekad akibat perang, sekatan antarabangsa dan kemerosotan infrastruktur. Foto AFP
Syria terjerumus dalam krisis ekonomi selama lebih sedekad akibat perang, sekatan antarabangsa dan kemerosotan infrastruktur. Foto AFP

DAMSYIK - Di pasar bersejarah Bab Srijeh di Damsyik, jualan masih lembap ketika rakyat Syria terus bergelut dengan krisis ekonomi yang berpanjangan, lapor Xinhua.

"Terdapat ramai orang, tetapi tidak banyak urus niaga jual beli," kata seorang peniaga tempatan, sambil menambah bahawa kebanyakan pelanggan hanya bertanya harga tanpa membeli.

Iklan
Iklan

Naama, seorang penduduk Damsyik turut berkongsi sentimen yang sama, berkata bahawa pendapatan rakyat tidak seiring dengan peningkatan kos sara hidup.

"Harga barang terlalu mahal berbanding gaji kami dan wang semakin sukar diperoleh dalam negara ini," katanya.

Iklan

Bagi ramai rakyat Syria, tekanan ekonomi kian terasa.

Ahmad Al-Hallaq, seorang lagi pembeli, memberi amaran bahawa situasi ini mungkin bertambah buruk

Iklan

"Orang ramai mungkin boleh bertahan empat atau lima bulan lagi, tetapi selepas itu, keadaan akan menjadi sangat sukar.

"Kami menerima segala yang telah berlaku, tetapi keadaan ekonomi semakin buruk dan rakyat benar-benar keletihan," katanya.

Bagi kebanyakan rakyat Syria, mereka berdepan masalah kewangan yang semakin mendesak.

Gaji yang tidak meningkat dan kadar pengangguran yang tinggi memaksa keluarga mengurangkan perbelanjaan, dengan hanya menumpukan kepada keperluan asas dan meninggalkan barangan mewah yang dahulunya menjadi kebiasaan.

Syria terjerumus dalam krisis ekonomi selama lebih sedekad akibat perang, sekatan antarabangsa dan kemerosotan infrastruktur.

Selepas kejatuhan kerajaan Bashar al-Assad, keadaan ekonomi masih suram.

Walaupun harga beberapa barangan keperluan asas menunjukkan sedikit penurunan - contohnya harga kentang yang turun daripada 9,000 pound Syria (0.69 dolar AS) sekilogram kepada 4,000 pound - kebanyakan rakyat masih bergelut untuk membelinya.

Inflasi, kejatuhan nilai mata wang dan kekurangan bahan api terus memburukkan keadaan.

Meskipun terdapat sedikit kelonggaran terhadap sekatan antarabangsa, ekonomi Syria kekal lumpuh.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu telah merosot sebanyak 84 peratus sejak 2011, menyebabkan hampir 90 peratus penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pengeluaran tenaga kekal sebagai cabaran utama, dengan Syria hanya mampu menjana 1,500 megawatt elektrik - jauh daripada keperluan asas sebanyak 7,000 megawatt.

Sementara itu, pengeluaran minyak, yang sebelum ini merupakan sektor penting ekonomi negara, kini hanya memenuhi lima peratus daripada keperluan domestik berikutan kehilangan beberapa medan minyak utama.

Kerajaan sementara Syria kini giat melobi agar sekatan ekonomi terus dikurangkan, dengan alasan bahawa langkah-langkah sekatan seperti Akta Caesar AS menghalang usaha pemulihan ekonomi negara.

Diharapkan penglibatan antarabangsa, perubahan dasar, dan peningkatan kestabilan dapat meredakan krisis ekonomi ini.

Namun buat masa ini, kesengsaraan kewangan masih menjadi realiti pahit bagi rakyat Syria yang terus berdepan kesukaran dalam kehidupan seharian mereka. - Bernama-Xinhua