PORT DICKSON - Bagi mengoptimumkan kualiti kerja pembersihan terutama di kawasan tumpuan awam, Robot Street Sweeper diperkenalkan.
Jentera pembersihan baharu SWM Environmment Sdn Bhd ini, boleh menampung sampah sebanyak 100 liter dalam satu masa, selain mampu membantu pekerja di lapangan melakukan kerja dengan lebih cekap dan pantas.
Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat SWM Environment Sdn Bhd, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, Robot Street Sweeper berasal dari Korea Selatan ini adalah jentera pembersihan bagi kerja-kerja sapuan secara automatik sesuai digunakan di kawasan bandar.
"Melalui penggunaan kecerdasan buatan AI (Artificial Intellingence), jentera ini akan memperkasakan usaha SWM Environment menceburi teknologi pembersihan baru di dalam industri 4.0.
"Ketika ini, SWM Environment mempunyai dua unit jentera (Robot Street Sweeper) iaitu ditempatkan di Melaka dan Negeri Sembilan, dengan harga seunit jentera lebih kurang AS$30,000 (RM122,858),” katanya.
Dilengkapi sensor dan mesra alam
Mengenai waktu pengoperasian jentera ini, Mohd Norlisam berkata, syarikat masih lagi dalam proses merangka jadual kerja, lokasi yang sesuai dan dalam proses memberikan latihan kepada pekerja agar mahir menggunakan jentera ini di lapangan.
Katanya, jentera ini turut dilengkapi ciri-ciri keselamatan iaitu mempunyai alat pengesan (sensor) yang dapat mengesan objek 45 darjah ke bawah di bahagian hadapan dan dapat menghentikan jentera secara automatik apabila terdapat halangan.
"Hanya seorang pekerja sahaja diperlukan untuk mengendalikan kerja secara manual mahupun automatik menggunakan alat kawalan jauh, namun bergantung kepada kesesuaian dan keperluan kawasan pembersihan.
"Jentera ini menggunakan bateri yang dapat bertahan sehingga enam jam waktu bekerja.
"Melalui penggunaan bateri, jentera ini mengeluarkan emisi sifar, penggunaan karbon yang rendah dan juga kadar bunyi operasi yang minimum.
"Selain itu, ‘beacon light’ bagi jentera ini menggunakan tenaga solar mesra alam yang dapat melindungi keselamatan pekerja dan orang ramai di sekitar ketika kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
3,000 meter dalam tempoh sejam
Sementara itu, Mohd Norlisam berkata, jentera ini mempunyai berus sapuan berukuran 1 meter dan kelajuan 2 hingga 3km per jam.
"Kemampuannya untuk melakukan kerja-kerja pembersihan pada kawasan berkeluasan 3,000 meter persegi dalam masa satu jam dengan jarak radius pusingan jentera adalah 1.3 meter,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Norlisam berharap melalui pembaharuan yang sentiasa dilaksanakan (SWM Environment) ini, dapat membantu para pekerja di lapangan mengoptimumkan kerja kerja pembersihan dengan lebih baik lagi.
"Kita yakin usaha ini dapat memberikan impak positif ke arah kualiti pengurusan kebersihan persekitaran yang lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Tambahnya, melalui penglibatan jentera teknologi tinggi ini, menunjukkan bertapa seriusnya SWM Environment meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam aspek pembersihan khususnya di kawasan tumpuan awam.