TUMPAT – Malaysia diyakini mampu mencapai sasaran indeks perpaduan lebih baik pada tahap 0.7 pada tahun ini berdasarkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh hubungan antara kaum di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Che Roslan Che Daud berkata, indeks perpaduan negara menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh tujuh tahun, dengan bacaan terkini pada 2022 mencatatkan 0.629 berbanding 0.567 pada 2018.
"Kajian menunjukkan indeks perpaduan negara semasa berada pada tahap baik dan terkawal.
"Berdasarkan usaha yang sedang dan akan terus dilaksanakan, kami yakin sasaran 0.7 mampu dicapai,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel pada Dialog Perpaduan dan Keselamatan Komuniti: Perpaduan dan Keamanan: Kunci kepada Komuniti Selamat di Masjid Al-Rahman di sini, pada Selasa.


Menurut beliau, kajian bagi menentukan indeks perpaduan negara sedang dijalankan hingga penghujung tahun ini dan kali ketiga dijalankan selepas tahun 2018 serta 2022.
Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) itu dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia yang menggunakan data dikumpulkan melalui tinjauan lapangan dan soal selidik oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Berdasarkan skala pengukuran IPNas, kosong hingga 0.24 adalah perpaduan tahap lemah, 0.25 hingga 0.49 (rendah), 0.5 hingga 0.74 (sederhana) dan 0.75 hingga 1.00 (tinggi).
Che Roslan menjelaskan bahawa terdapat 10 faktor utama yang mempengaruhi tahap perpaduan masyarakat, termasuk etos bangsa, defisit sosial, pendidikan dan penggunaan bahasa kebangsaan.
"Bahasa kebangsaan antara alat perpaduan yang sangat penting.
"Jika wujud jurang komunikasi akibat perbezaan bahasa, boleh menimbulkan salah faham dan prasangka antara kaum,” ujarnya.
Selain itu, katanya, pelbagai program perpaduan terus digerakkan di seluruh negara bagi memastikan interaksi antara masyarakat diperkukuh.
"Tahun ini sahaja, lebih 200 program dirancang oleh JPNIN, manakala di bawah Kelab Rukun Tetangga lebih 20,000 program dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.
Beliau menjelaskan terdapat 8,529 Kelab Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara dan bertanggungjawab melaksanakan sekurang-kurangnya lapan program setahun untuk dinilai sebagai KRT aktif dengan beberapa kawasan berjaya menganjurkan sehingga 50 program setahun.
"Kami percaya lebih banyak program yang diadakan akan memberi kesan positif dalam meningkatkan persefahaman, mengurangkan jurang sosial dan memastikan mesej perpaduan sampai kepada masyarakat,” katanya.