PUTRAJAYA - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara dan bedilan artileri Israel ke atas Gaza yang menyaksikan lebih 300 nyawa terkorban selepas rejim Zionis itu secara sepihak menamatkan gencatan senjata.
Gelombang serangan terbaharu itu turut menyasarkan Syria, Lubnan dan Yemen, menyebabkan lebih ramai mangsa terkorban termasuk kanak-kanak dan petugas kemanusiaan.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan mengecam tindakan agresif Israel yang jelas mencabuli undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Tindakan agresif Israel ini jelas membuktikan bahawa rejim tersebut tidak mempunyai sebarang hasrat untuk berdamai dengan negara jirannya.
"Sebaliknya, Israel terus mencabuli undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta usaha damai yang sedang dijalankan,” kata kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra pada Selasa.
Menurut Wisma Putra, pembunuhan berterusan terhadap orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak adalah jenayah perang, genosid serta pembersihan etnik.
"Serangan Israel ke atas negara-negara berdaulat turut mengancam kestabilan global," katanya.
Sehubungan itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan tegas bagi melindungi orang awam serta memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.