SHAH ALAM - Menjelang keputusan rayuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Rabu, Bella Astillah serta beberapa ahli politik menyatakan sokongan moral kepada Ahli Parlimen Muar itu.
Penyanyi dan pelakon tersebut dilihat memuat naik gambar bersama bekas Menteri Belia dan Sukan itu di Instagram berserta titipan doa.
"Doa orang ramai mengiringimu," tulisnya.
Selain itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut mendoakan urusan Syed Saddiq dipermudahkan.
"Semoga ALLAH permudahkan segala urusan kamu sahabat, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abdul Aziz turut menyatakan sokongan kepada bekas Presiden parti berkenaan.
"Semoga dipermudahkan segala urusannya esok," ujarnya.
Nasib Syed Saddiq sama ada dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta atau kekal bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada akan diputuskan selepas hujahan di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Sebelum ini mahkamah menetapkan hujahan bagi kedua-dua pihak, dijalankan selama dua hari iaitu 19 dan 20 Mac.
Prosiding rayuan ini merupakan peringkat kedua pengadilan, yang mana sekiranya dia didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun jika panel hakim mendapati anak kelahiran Johor itu tidak mengetepikan Mahkamah Tinggi, maka dia akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.