JOHOR BAHRU - Warga emas yang menampar seorang lelaki bukan beragama Islam di sebuah kedai serbaneka di pusat membeli-belah di bandar raya ini, akan didakwa di mahkamah pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, hasil semakan mendapati suspek lelaki berusia 65 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor, dan hasil penelitian, keputusan telah dibuat untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan pada malam Selasa.
Sebelum itu, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, suspek dan beberapa saksi termasuk anaknya telah dirakam percakapan pada Isnin.
Sementara mangsa berusia 21 tahun dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan dan doktor yang merawat mangsa juga akan dirakam percakapan
Pada Isnin, polis mengesahkan mangsa telah membuat laporan mengenai insiden tersebut pada jam 9.08 malam, Ahad.
Mangsa mendakwa ditampar dua kali pada pipi kanan oleh seorang lelaki tidak dikenali selepas suspek bertanya mengenai agamanya dan meminta MyKad miliknya.
Bagaimanapun keengganan mangsa menyerahkan MyKad miliknya menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditampar dan kejadian itu kemudian tular di media sosial.