JAKARTA - Seorang wanita dari Pekalongan, Rindika Putri, menjadi mangsa penipuan pembelian basikal elektrik dalam talian, menyebabkan dia mengalami kerugian sebanyak 450,000 rupiah (RM122).
Mangsa yang berharap mendapat keadilan telah membuat laporan di Balai Polis Pemalang, namun laporannya didakwa ditolak.
Kecewa dengan situasi itu, dia kemudian meluahkan perasaannya kepada pihak bomba.
Media tempatan melaporkan, kejadian berlaku pada Jumaat lalu ketika mangsa mahu membeli sebuah basikal elektrik yang diiklankan di platform Facebook Marketplace.
Sebelum mengambil basikal tersebut di sebuah kedai di Kota Pemalang, dia terlebih dahulu membuat bayaran pendahuluan sebanyak 150,000 rupiah (RM40), diikuti bayaran tambahan 300,000 rupiah (RM82), menjadikan jumlah keseluruhan 450,000 rupiah.
Namun, sebaik tiba di kedai berkenaan, pemilik kedai memaklumkan bahawa bayaran yang dibuat tidak pernah diterima oleh mereka.
Lebih mengejutkan, pemilik kedai itu turut memberitahu bahawa Putri merupakan mangsa keenam yang mengalami nasib sama akibat modus operandi serupa.
"Sampai di kedai, pemiliknya beritahu bahawa transaksi itu bukan daripada pekerja mereka dan tiada penyelesaian lain ditawarkan,” ujar Putri.
Selepas menyedari dirinya ditipu, Putri berusaha membuat laporan di Balai Polis Pemalang, tetapi laporan itu ditolak.
Kecewa dengan keadaan tersebut, dia menghubungi pihak bomba di Pekalongan untuk berkongsi kisahnya.
Pada awalnya, pihak bomba menyangka terdapat kecemasan kebakaran, namun selepas mendengar penjelasan Putri, mereka meminta dia hadir ke pejabat untuk menjelaskan situasi yang dialaminya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Balai Polis Pemalang, AKP Andika Oktavian Saputra, menjelaskan bahawa berlaku salah faham dalam kes ini.
"Polis Pemalang sebenarnya telah menerima laporan daripada mangsa. Tetapi, kerana lokasi kejadian melibatkan transaksi perbankan mudah alih yang berlaku di Pekalongan, kami telah berkoordinasi dengan Balai Polis Pekalongan untuk tindakan lanjut,” katanya seperti yang dilaporkan oleh TribunnewsBogor.com pada Isnin.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Balai Polis Pekalongan, AKP Yoyok Agus Waluyo, turut mengesahkan bahawa mereka kini sedang menyiasat kes berkenaan.
Beliau juga menegaskan bahawa Putri telah menerima surat pengesahan laporan daripada pihak polis.
"Kami telah menyusun laporan maklumat, surat arahan tugas, dan surat arahan penyiasatan. Kini, laporan Putri telah diterima secara rasmi dengan jumlah kerugian dicatat sebanyak 450,000 rupiah,” katanya.
Selepas kes ini tular, Putri akhirnya berasa lega apabila siasatan mula dijalankan oleh pihak polis Pemalang dan Pekalongan.
Dia juga mengakui bahawa sebelum ini tidak memahami prosedur yang betul untuk membuat laporan polis.
"Saya pada mulanya tidak tahu prosedur laporan. Saya sangka boleh terus lapor ke Balai Polis Pemalang, tetapi rupanya perlu ke Balai Polis Pekalongan. Alhamdulillah, kini kes ini telah diambil tindakan oleh kedua-dua balai polis,” katanya.