SKUAD remaja negara memerlukan pentas perlawanan kompetitif sebelum membuka gelanggang temasya Piala Dunia Hoki Remaja hujung tahun ini dengan aksi lebih bertenaga.
Bekas penjaga gol skuad Piala Dunia Hoki Remaja Paris 1979, Datuk Mohd Sayuti Abdul Samad, menyifatkan pendedahan awal terhadap perlawanan berkualiti dapat mempercepatkan kematangan permainan pemain, terutama apabila berdepan pasukan lawan yang memiliki kelebihan fizikal.
"Pasukan remaja perlu mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan dengan pasukan Eropah bagi memantapkan persiapan.
"Apabila mereka sudah berpengalaman menentang pasukan Eropah, keyakinan akan bertambah apabila beraksi di India dan Chile nanti.
"Ini bukan sekadar latihan biasa, tetapi medan sebenar untuk menguji kemampuan dan meningkatkan kematangan permainan.
"Saya yakin mereka tidak akan mudah gentar, malah mampu memberi saingan dan mencipta kejutan,” katanya yang juga Presiden Persatuan Hoki Perak serta pengurus skuad Young Tigress Santiago 2025 kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Sebagai rekod, skuad Young Tigers kendalian I Vikneswaran dan Young Tigress bimbingan Lailin Abu Hassan masing-masing telah mengesahkan slot ke Piala Dunia Remaja 2025 selepas layak ke kejohanan berprestij itu.
Skuad bimbingan Vikneswaran akan membuka kempen di Chennai, India, manakala pasukan Lailin akan bersaing dengan jagoan hoki remaja dunia di Santiago, Chile.