KEJUTAN besar melanda arena badminton negara apabila pasangan beregu lelaki nombor satu, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama Terbuka Switzerland Super 300 di Basel.
Sze Fei-Nur Izzuddin lebih dikenali komuniti badminton Fei-Din yang diletakkan sebagai pilihan utama menduduki ranking kedua dunia, tunduk setelah mengharungi rubber set kepada pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita.
Fei-Din, berstatus juara Terbuka India Super 750 memulakan perlawanan yang mendebarkan di St Jakobshalle Hall dengan diberikan tentangan sengit Midorikawa-Yamashita, sebelum tewas 23-25.
Set kedua, aura Fei-Din kembali menyalakan menemui rentak apabila menang 21-15 untuk mengheret pertarungan ke set penentuan sebelum kelemahan beregu negara di gelanggang dimanfaatkan Midorikawa-Yamashita, untuk kemenangan 21-11 dalam masa 54 minit.
Sebagai rekod, cabaran Fei-Din dalam edisi 2024 sebelum ini berakhir di pusingan kedua apabila tewas kepada wakil Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren, 21-17, 19-21, 15-21.
Kekalahan terbaharu ini juga melebarkan rentak longlai selepas tersingkir dalam pusingan 16 Seluruh England Super 1000 kepada wakil Korea Selatan, Kim Won-ho-Seo Seung-jae.
Turut sama tewas, beregu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang tewas kepada wakil Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-hsuan, straight set 18-21, 26-28 dalam masa 40 minit.
Satu lagi beregu negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut juga berakhir setelah tewas kepada lawan dari Denmark,
Andreas Sondergaard-Jesper Toft, 23-21, 21-18 dalam masa 41 minit.
Di gelanggang perseorangan lelaki, Justin Hoh melayakkan diri ke pusingan utama selepas menewaskan pemain India, K Sathish Kumar, 21-19, 19-21, 21-16 dalam pertarungan tiga set 69 minit yang penuh dramatik.