IPOH – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menganggap calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini sebagai calon mereka sendiri.
Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairol Najib Hashim berkata, sehubungan itu pihaknya akan bekerja keras seolah-olah individu itu datang daripada parti Amanah.
Menurutnya, jentera parti itu akan digerakkan sepenuhnya bagi membantu kemenangan calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK berkenaan.
"PRK DUN Ayer Kuning ini adalah medan penting bagi rakyat untuk mengekalkan kepimpinan yang stabil, progresif dan bertanggungjawab demi kelangsungan pembangunan di kawasan ini.
"Sebagai bukti kesungguhan dan kesetiaan kepada prinsip setiakawan dalam Kerajaan Perpaduan, Pemuda Amanah Perak menganggap calon yang bertanding sebagai calon Amanah sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Khairol Najib, Pemuda Amanah Perak komited menggerakkan jentera secara tersusun, sistematik dan agresif sepanjang tempoh 14 hari berkempen bagi memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut menyeru semua jentera dan penyokong untuk turun padang serta mendekati masyarakat bagi menyampaikan mesej perpaduan dan kemajuan.
Khairol Najib berkata, dalam usaha memperkukuh gerak kerja pilihan raya, Pemuda Amanah Perak akan melancarkan jentera pilihan raya mereka dalam satu majlis khas yang dijadualkan berlangsung pada 22 Mac di Arena Square Tanjong Keramat, Ayer Kuning, Tapah.
Katanya, majlis akan menghimpunkan kepimpinan serta jentera parti untuk menyusun strategi menghadapi tempoh kempen yang bermula 12 April hingga 25 April.