Rusuhan agama di India, pihak berkuasa laksana perintah berkurung

Iklan
Kekacauan tercetus ketika kumpulan nasionalis Hindu mengadakan protes mendesak makam pemerintah Mughal, Aurangzeb dirobohkan. - Agensi Kekacauan tercetus ketika kumpulan nasionalis Hindu mengadakan protes mendesak makam pemerintah Mughal, Aurangzeb dirobohkan. - Agensi
Kekacauan tercetus ketika kumpulan nasionalis Hindu mengadakan protes mendesak makam pemerintah Mughal, Aurangzeb dirobohkan. - Agensi

NEW DELHI - Pihak berkuasa mengenakan perintah berkurung tanpa had di beberapa kawasan di sebuah bandar di barat India pada Selasa susulan rusuhan antara penganut Hindu dan Muslim sehari sebelumnya, lapor Associated Press (AP)

Rusuhan tercetus di bandar Nagpur, Maharashtra, pada Isnin ketika kumpulan nasionalis Hindu mengadakan protes mendesak makam pemerintah Mughal, Aurangzeb, dirobohkan.

Iklan
Iklan

Aurangzeb adalah maharaja keenam Empayar Mughal yang memerintah dari tahun 1658 hingga 1707 yang beragama Islam dan mencapai keluasan terbesar dalam sejarahnya, merangkumi hampir keseluruhan anak benua India.

Anggota Parlimen, Chandrashekhar Bawankule berkata, sekurang-kurangnya 34 anggota polis dan lima orang awam cedera, manakala beberapa rumah serta kenderaan turut musnah dalam insiden itu.

Iklan

Pegawai kanan polis, Ravinder Singal, memaklumkan bahawa seramai 50 individu telah ditahan setakat ini.

Makam Aurangzeb terletak di bandar Chhatrapati Sambhaji Nagar, kira-kira 500 kilometer dari Nagpur.

Iklan

Bandar itu sebelum ini dikenali sebagai Aurangabad, dinamakan sempena pemerintah Mughal tersebut.

Dalam kalangan nasionalis Hindu di India, Aurangzeb dianggap sebagai tokoh yang menindas penganut Hindu semasa pemerintahannya pada abad ke-17, meskipun sebilangan sejarawan berpendapat dakwaan tersebut telah dibesar-besarkan.

Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi, sentimen terhadap Aurangzeb semakin tegang, dengan pemimpin nasionalis Hindu itu beberapa kali mengaitkan pemerintah Mughal tersebut dengan penindasan terhadap penganut Hindu.

Sentimen ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan minoriti Muslim India yang semakin kerap menjadi sasaran keganasan kumpulan pelampau Hindu sejak Modi pertama kali memegang jawatan pada 2014.

Ketegangan mengenai Aurangzeb semakin meningkat selepas tayangan filem Bollywood, Chhaava, yang mengangkat kisah seorang pahlawan Hindu yang menentang pemerintah Mughal itu.

Filem berkenaan dikritik oleh pengulas industri filem kerana dianggap memburukkan lagi perpecahan agama di India.

Meskipun ketegangan antara komuniti Hindu dan Muslim telah lama wujud, kumpulan hak asasi manusia mendakwa serangan terhadap golongan minoriti semakin berleluasa di bawah kepimpinan Modi.

Mereka turut menuduh kerajaan Modi mengamalkan dasar yang mendiskriminasi masyarakat Muslim di negara itu.

Namun, parti pemerintah Modi, Bharatiya Janata Party (BJP), menafikan tuduhan tersebut.

Kumpulan pelampau Hindu juga sebelum ini menyasarkan beberapa tempat ibadat Muslim dan mendakwa ia dibina di atas runtuhan kuil Hindu.

Beberapa kes tuntutan ke atas masjid terkenal masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.

Tahun lalu, Modi memenuhi tuntutan lama nasionalis Hindu apabila merasmikan sebuah kuil kontroversi di tapak Masjid Babri yang dirobohkan di Ayodhya, utara India.

Masjid Babri, yang dibina pada abad ke-16, dimusnahkan pada 1992 oleh kumpulan perusuh Hindu yang percaya tapak itu adalah tempat kelahiran Dewa Ram, salah satu dewa paling dihormati dalam agama Hindu. - Agensi