Rayuan Syed Saddiq: Saksi pendakwaan ditekan semasa siasatan - Peguam

Iklan
Syed Saddiq hadir ke Mahkamah Rayuan hari ini berhubung rayuannya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan serta denda RM10 juta kerana bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada. Foto Bernama 
Syed Saddiq hadir ke Mahkamah Rayuan hari ini berhubung rayuannya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan serta denda RM10 juta kerana bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada. Foto Bernama
Syed Saddiq hadir ke Mahkamah Rayuan hari ini berhubung rayuannya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan serta denda RM10 juta kerana bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Pembelaan kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhujah di Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu bahawa, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengadili kes dihadapi Ahli Parlimen Muar itu melakukan satu salah arah teruk kerana tidak mengambil kira bahawa saksi pendakwaan memberi keterangan dalam keadaan tertekan.

Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq, 33, selaku perayu berkata demikian ketika rayuan bagi mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Armada.

Iklan
Iklan

Hisyam berkata, saksi pendakwaan ke-13 (SP13), bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali berada dalam tekanan yang teruk sewaktu ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Menurutnya, perkara itu boleh memberi kesimpulan bahawa, Rafiq yang juga saksi utama kes, mereka-reka keterangan ketika ditahan reman oleh SPRM.

Iklan

"Tidak dinafikan, SP13 telah terjerumus dengan taktik menekan sewaktu siasatan untuk memberi keterangan tidak memihak kepada perayu.

"Hakim bicara juga gagal mengambil kira, pembelaan kami bukanlah satu penafian semata-mata tetapi ia disokong oleh fakta dan bukti," katanya.

Iklan

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.

Menerusi penghakiman setebal 22 muka surat, mahkamah menolak pembelaan Syed Saddiq sambil menyifatkan keterangannya `tidak masuk akal’.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.

Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman terbabit.

Beliau berkata, hakim bicara terkhilaf dari segi undang-undang apabila mensabitkannya atas empat kes itu.

Katanya, hakim gagal untuk mengambil kira, memahami intipati dan kehendak Seksyen 405 Kanun Keseksaan, maka perbuatan perayu seperti tertera dalam pertuduhan pertama tidak terjumlah kepada kesalahan di bawah seksyen terbabit.

Akibat kegagalan ini katanya, hakim terkhilaf dalam menyamakan pengeluaran dengan perbelanjaan wang.

Prosiding rayuan ini merupakan peringkat kedua pengadilan, yang mana sekiranya dia didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun jika panel hakim menbenarkan rayuan anak kelahiran Johor Bahru itu dengan mengetepikan Mahkamah Tinggi, maka dia akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bekas Presiden Muda itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.