MUKAH - Seorang daripada dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika mandi di tepi Sungai Batang Mukah berhampiran Jalan Kampung Bedanga, kira-kira jam 3.50 petang Selasa ditemukan lemas.
Kanak-kanak lelaki, Dexper Kiu Kuang Wei, 10, ditemukan oleh pasukan polis yang menyertai operasi mencari dan menyelamat, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada jam 4.40 petang Rabu.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.
Adik perempuan mangsa, Susie Kiu, 7, masih belum ditemukan.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.50 petang Selasa, mangsa dikatakan mandi di sungai tersebut bersama adiknya tidak jauh dari Jambatan Kuning Mukah.
Ibu mangsa cuba menyelamatkan kedua-dua anaknya tetapi usaha itu tidak berjaya kerana mereka tenggelam dengan cepat akibat arus deras.
Operasi mencari dan menyelamat akan disambung semula pada pagi esok. - Bernama