PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu, memutuskan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) perlu membayar ganti rugi sebanyak RM216,949 kepada seorang penunggang motosikal yang mengalami kecederaan susulan insiden pokok tumbang di Jalan Persekutuan Seremban pada tujuh tahun lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban.
Ketika membaca keputusan sebulat suara, Hakim Ahmad Zaidi yang bersidang bersama Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Mohamed Zaini Mazlan berkata, kos itu merangkumi ganti rugi dan perbelanjaan perubatan atas kecederaan yang dialami Iqmal Izzudeen selaku plaintif.
"MBS bertanggungjawab atas kecuaian kerana gagal menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pokok di jalan itu sehingga membawa kepada kemalangan.
"Pihak itu juga bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan pokok di jalan Persekutuan Seremban dan kawasan lain dalam bidang kuasanya, sebagaimana ditetapkan mengikut Seksyen 101 Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.
Kes ini berpunca daripada insiden pada tahun 2018 di mana Iqmal mengalami kecederaan apabila sebatang pokok tumbang, ketika dia berhenti di lampu isyarat berhampiran tol Rasah di Lebuhraya Utara-Selatan, 1 Mei 2018.
Plaintif kemudiannya memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Seremban terhadap MBS, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd iaitu pihak konsesi yang dilantik oleh JKR.
Mahkamah Sesyen pada peringkat awal memutuskan JKR dan syarikat bertanggungjawab, sementara menolak kes terhadap MBS.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi kemudiannya membenarkan rayuan Selia Selenggara Selatan dan memutuskan bahawa syarikat tersebut tidak bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan pokok berdasarkan terma dalam perjanjian konsesi, sekali gus membebaskan syarikat itu daripada liabiliti.
Mahkamah Tinggi itu memutuskan bahawa JKR masih bertanggungjawab dalam memastikan pokok di sepanjang jalan Persekutuan diselenggara.
Susulan itu, JKR membuat rayuan di Mahkamah Rayuan di sini dengan hujahan bahawa MBS merupakan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab untuk menyelia pokok terbabit.
Mereka menghujahkan secara alternatifnya, Selia Selenggara Selatan juga sepatutnya dipertanggungjawabkan kerana ia termasuk dalam perjanjian konsesi penyelenggaraan jalan terbabit.
Mahkamah Rayuan memutuskan, syarikat itu tidak bertanggungjawab sebarang liabiliti kerana penyelenggaraan pokok sememangnya tidak termasuk dalam skop perjanjian konsesi.
Keputusan ini mempunyai implikasi yang besar di seluruh negara kerana ia menunjukkan bahawa tanggungjawab penyelenggaraan pokok di mana-mana jalan termasuk sepanjang jalan Persekutuan bukan terletak pada JKR atau syarikat konsesi, sebaliknya di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
Dalam kes ini, JKR diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Amalina Zainal Mokhtar dan Peguam Persekutuan Mohamad Shafiq Mohd Sazali, manakala Jaqdesh Singh Johal mewakili Selia Selenggara.
Peguam, Aisha Jothilingam pula hadir bagi pihak MBS sementara Iqmal oleh peguam, S Vimalarani.