KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu menahan seorang pengurup wang berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi berkata, suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan, namun dilepaskan selepas mengadu sakit jantung.
Beliau berkata, suspek kemudian dirujuk kepada doktor dan disahkan mengalami masalah jantung tersumbat sebelum dilepaskan bagi menerima rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Azam berkata, proses merakam keterangan Ismail Sabri mungkin akan mengambil beberapa sesi lagi sebelum selesai.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan pendakwaan, beliau berkata masih ada beberapa individu lain yang perlu dipanggil untuk dirakam keterangannya.
Petang Rabu, bekas Perdana Menteri itu dilihat meninggalkan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 4.35 petang selepas proses merakam keterangannya berlangsung selama lebih enam jam.
Sumber SPRM mengesahkan bahawa proses merakam keterangan Ismail Sabri akan disambung pagi esok.
Beliau disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatannya dari Ogos 2021 hingga November 2022. - Bernama