KUANTAN - Selepas Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah menunaikan solat subuh di Masjid Imam Ash Shafie, Kotasas yang menjadi rutinnya sebagai kariah di masjid tersebut, baginda kemudiannya berkenan bersarapan di Restoran D'Wafi, Taman Mahkota Putra, di sini yang lazim dilawatinya selepas solat subuh.
Di restoran itu, Sultan Abdullah yang mengenakan jubah berwarna hijau dan berkopiah putih mengambil kesempatan beramah mesra dengan orang ramai dan bertanya khabar.
Iklan
Iklan
Sebelum berangkat pulang, baginda turut berkenan bergambar bersama masyarakat yang datang bersarapan.
Kebanyakan mereka begitu teruja dan seronok dengan kehadiran Sultan Abdullah yang telah diangkat menjadi sultan baharu Pahang.
Sementara itu, Imam Besar 1 Masjid Imam Ash-Shafie, Izalludin Mat Nor, 53, berkata, Sultan Abdullah sememangnya merupakan kariah di masjid berkenaan dan sudah menjadi rutin baginda menunaikan solat subuh di masjid itu sejak ia dibuka.
"Memang tuanku biasa ke sini solat subuh berjemaah, kadang-kadang bersama Tengku Puan Pahang (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah)...tuanku membaca dua muka surat al Quran selepas itu dan tarawih (pada Ramadan).
"Kami di Kotasas rasa seronok dan saya sebut kepada tuanku yang kehadirannya menjadi sumber inspirasi kepada penduduk menyebabkan semakin ramai jemaah datang ke masjid untuk solat Subuh,” katanya.