SEREMBAN – Roti john antara juadah paling digemari sepanjang bulan Ramadan.
Tidak hairanlah gerai Papa John Solambak milik Shazzuan Norazman, 32, di Bazar Ramadan Tapak A, Garden Homes, Seremban 2, di sini mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.
Keistimewaan utama gerai ini adalah roti john udang, selain variasi inti ayam, daging, dan tuna.
Lebih menarik, konsep 'inti selambak' yang diketengahkan memberikan kepuasan maksimum kepada pelanggan.
Menurut Shazzuan, kira-kira 300 roti john terjual setiap hari, dengan roti john udang menjadi pilihan utama pelanggan.
"Sebenarnya, kami ada kedai di Sikamat dan ini adalah percubaan pertama berniaga di bazar Ramadan.
"Tak sangka roti john udang ini laris, dan setiap hari kami menggunakan antara lima hingga enam kilogram udang, yang kebiasaannya habis sebelum jam 5 petang,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, rasa manis udang menjadikannya pilihan yang sesuai sebagai inti roti john, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.
Katanya, roti john udang dan tuna dijual pada harga RM14, manakala roti john daging pada harga RM12.
"Ada pelanggan kata harga roti john kami tidak berbaloi dengan isinya, tapi kami tidak mahu menipu pelanggan kerana konsep kami memang inti selambak untuk kepuasan mereka.
"Sebab itu juga kami memasak di depan pelanggan supaya mereka boleh lihat sendiri betapa banyaknya inti yang kami gunakan, bukan sekadar membeli roti john yang telah siap dibungkus,” katanya yang dibantu lima pekerja.
Selain itu, katanya, ada pelanggan sanggup datang dari Johor semata-mata untuk merasai sendiri keenakan roti john yang dijualnya.