MELAKA - Bekas pengarah sebuah kementerian di negeri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu, atas tuduhan mengemukakan dokumen pembekalan khemah mengandungi butiran matan palsu bernilai RM24,000.
Tertuduh, Yeow Chin Chai, 43, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya suatu dokumen iaitu invois atas nama Shahz Titah Bumi Enterprise.
Ia bagi invois pembekalan khemah utama (Marquee Tent dan Platform) berjumlah RM24,000 pada Program 'Mount Ophir Ultra Trail Melaka Tahun 2023' tetapi tiada sebarang pembekalan khemah utama dilakukan pejabat kementerian tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat kementerian itu di Ayer Keroh antara 18 September 2023 hingga 10 Oktober tahun sama.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa'ari dan Fatin Nur Athirah Zainudin, manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd Fadly Hashim.
Terdahulu, ketika prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat melapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan selain pasport diserah kepada mahkamah.
Namun peguam tertuduh merayu jaminan munasabah dengan alasan anak guamnya menanggung empat anak yang masih kecil selain ibu bapa sakit dan memerlukan rawatan di hospital.
Hujahnya, tertuduh akan memberi kerjasama kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 22 April depan.