KUALA LUMPUR - Seorang pemandu lori didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menyembunyikan wang lebih RM460,000 milik sebuah syarikat pembekalan bahan pembinaan ke dalam akaun bank miliknya.
Hakim Hamidah Mohamed Deril menjatuhkan hukuman itu terhadap M Kesava Rajah, 34, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes hari ini dan memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Lelaki itu didakwa telah mengalihkan atau menyembunyikan wang berjumlah RM460,291.65 milik syarikat Advance Bolts & Fasteners Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya di syarikat terbabit yang beralamat di Jalan Sultan Azlan Shah, Sentul, di sini pada 27 November 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan eksekutif akaun syarikat itu telah membuat semakan apabila mendapati pembayaran RM460,291.65 kepada sebuah lagi syarikat pembekal, Chin Well Fasteners Co Sdn Bhd tidak diterima.
Semakan menunjukkan pengadu telah membuat pembayaran pada 20 November 2020 melalui akaun Public Bank syarikatnya ke dalam akaun RHB atas nama Chin Well Fasteners Co Sdn Bhd, namun akaun sebenar pembekal (Chin Well Fasteners) adalah di Hong Leong Bank.
Hasil siasatan lanjut mendapati akaun RHB berkenaan berdaftar atas nama Syarikat Sesoda Global Trading milik tertuduh yang digunakan sebagai transit untuk wang hasil penipuan dan tertuduh mengakui kad dan buku banknya telah diserahkan kepada pihak ketiga yang kemudian telah mengeluarkan kesemua wang terbabit.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd Shariff memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, mengambil kira kepentingan awam dan masalah keldai akaun yang semakin berleluasa.
"Tertuduh telah menyerahkan kad dan buku banknya kepada pihak ketiga dan oleh sebab kecuaian itu, telah memudahkan urusan penipuan. Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada masyarakat umum agar tidak sewenang-wenangnya memberikan kad bank kepada orang lain," katanya.
Peguam K Komagan yang mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan tidak mempunyai kesalahan lampau. - Bernama