SHAH ALAM – Pas mempersoalkan reaksi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor terhadap seruan agar pengundi memindahkan alamat ke negeri itu, yang dilihat seolah-olah takut kehilangan sokongan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan menukar alamat mengundi bukan arahan wajib kepada ahli, sebaliknya hanya pandangan berkaitan strategi.
"Amanah seperti takut akan kehilangan sokongan pengundi jika langkah tersebut dilaksanakan. Jika pengundi membuat keputusan untuk mengundi di alamat tempat tinggal mereka, sama ada di Selangor, Perak atau negeri lain, itu adalah hak mereka.
"Ternyata Amanah sangat bimbang sekiranya pengundi Kelantan mengundi di Selangor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa Amanah Selangor menyifatkan seruan Pas agar pengundi memindahkan alamat ke negeri itu sebagai tindakan terdesak bagi meraih sokongan dalam pilihan raya.
Menurut Timbalan Pengerusinya, Azli Yusof, tindakan Pas itu jelas menunjukkan bahawa parti tersebut tidak yakin dengan sokongan rakyat di Selangor dan terpaksa bergantung kepada strategi luar biasa bagi meningkatkan peluang mereka.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri menggesa mereka yang berdaftar sebagai pengundi di negeri lain tetapi menetap di Selangor supaya segera memindahkan alamat undi ke negeri itu.
Katanya, langkah tersebut bertujuan memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Malah, beliau yakin tindakan itu dapat meningkatkan jumlah pengundi PN di Selangor, terutama di kawasan majoriti Melayu dan pinggir bandar.