KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada 24 Mei ini.
Menurut Rafizi, keputusan beliau bertanding semula bertujuan mengelak berlakunya 'drama' dalaman parti yang boleh memberi kesan negatif kepada kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
"Jika saya kata tidak berminat dan mahu lakukan perkara lain, ia akan menimbulkan terlalu banyak drama dalam kerajaan, sedangkan kita benar-benar perlu bertahan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
"Jadi, sama ada bernasib baik atau tidak, saya perlu bertahan dan akan tetap bertanding," katanya selepas melancarkan Kajian Separuh Penggal Pelan Induk Industri OGSE Malaysia pada Khamis.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan 2022 selepas menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sebelum itu, beliau pernah bertanding bagi jawatan sama pada 2018 tetapi tewas kepada penyandang ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa fokus utama PKR dalam pemilihan kali ini adalah memastikan proses demokrasi berlangsung secara sihat sambil meneruskan tanggungjawab dalam kerajaan.
Selain itu, Rafizi turut menyeru pemimpin PKR agar menumpukan usaha ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2028.
"Saya tidak fikir rakyat mahu melihat terlalu banyak drama daripada mana-mana parti politik, terutama dengan segala yang sedang berlaku dalam masyarakat ketika ini," katanya.