WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan bahawa kumpulan Huthi yang disokong Iran di Yemen akan 'dihapuskan sepenuhnya' sambil memberi amaran keras kepada Teheran supaya menghentikan bantuan kepada kumpulan itu.
"Iran mesti segera menghentikan penghantaran bekalan ini. Biarkan Huthi bertarung sendiri. Apa pun, mereka tetap kalah, tetapi dengan cara ini mereka akan kalah dengan lebih cepat,” kata Trump dalam hantaran di platform Truth Social.
Trump mendakwa terdapat laporan bahawa Iran mengurangkan sokongan ketenteraan kepada Huthi tetapi masih menghantar bekalan dalam jumlah besar.
"Kerosakan besar telah dilakukan terhadap puak Huthi dan keadaan akan menjadi semakin buruk buat mereka. Ini bukan pertarungan yang adil dan tidak akan pernah berlaku adil. Mereka akan dihapuskan sepenuhnya!” katanya.
Huthi sebelum ini menyerang kapal-kapal di Laut Merah sejak perang di Genting Gaza bermula pada 7 Oktober 2023.
Minggu lalu, mereka mengancam untuk menyambung semula serangan ke atas kapal Israel sebagai tindak balas terhadap sekatan bantuan ke wilayah Palestin, mencetuskan serangan udara pertama AS ke atas Yemen sejak Trump memegang jawatan pada Januari lalu.
Washington melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran sejak Sabtu lalu dan berikrar untuk menggunakan kekuatan penuh sehingga serangan Huthi di laluan perkapalan utama di Laut Merah dan Teluk Aden dihentikan.
Media Huthi melaporkan beberapa serangan udara AS pada Rabu di kawasan yang dikuasai pemberontak di Yaman termasuk di ibu kota Sanaa.
Menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Huthi, serangan AS pada Sabtu lalu telah mengorbankan 53 orang dan mencederakan hampir 100 yang lain.
Pada hari yang sama, Huthi turut menyerang kapal perang AS di Laut Merah, serangan keempat yang mereka lancarkan dalam tempoh tiga hari. - AFP