ALOR SETAR - Kegusaran pemain dan barisan kejurulatihan pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk menyambut Aidilfitri sedikit terubat berikutan inisiatif tiga badan bukan kerajaan (NGO) melancarkan tabung bagi membantu mereka.
Rangkaian Anak Darul Aman Se-Malaysia (RADA), Anak Darul Aman (ADAM) dan Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (SUARA) mengambil langkah alternatif itu sebagai solidariti terhadap pasukan yang dikatakan tidak menerima gaji sejak hampir setahun.
Pengerusi RADA, Datuk Romli Ishak berkata, tabung dilancarkan hari ini telah mencecah kutipan RM40,000 yang akan diagihkan kepada pemain dan barisan kejurulatihan KDA FC bagi membantu mereka melakukan persiapan menyambut Aidilfitri.
"Tabung ini diwujudkan bagi memastikan kebajikan para pemain terus terbela terutamanya dalam menyambut Syawal yang mulia.
"Sumbangan akan disalurkan secara langsung kepada pemain dan pegawai yang memerlukan sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam mengangkat martabat bola sepak Kedah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, pasukan yang beraksi dalam Liga Super itu dilaporkan berdepan krisis kewangan hingga menyebabkan tunggakan gaji melebihi 10 bulan.
Romli berkata, pihaknya bersama ADAM dan SUARA terpanggil untuk menggerakkan kutipan itu selepas mendengar sendiri keluhan sebahagian pemain dan pegawai pasukan dalam pertemuan baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya turut mengajak semua penyokong setia pasukan Hijau Kuning, korporat, NGO serta orang ramai yang berkemampuan untuk sama-sama membantu pemain dan barisan kejurulatihan KDA FC. - Bernama