PRK Ayer Kuning: Pas yakin akan ada perubahan besar

Iklan
Muhammad Sanusi Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Pas yakin akan ada perubahan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning biarpun percubaan parti itu sebelum ini berakhir dengan kekalahan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pas sedang berusaha untuk melakukan perubahan itu dan percaya momentum politik di DUN berkenaan sudah berubah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemenangan dalam PRK bukan hanya bergantung kepada strategi parti bertanding, sebaliknya turut dipengaruhi faktor lain termasuk senario semasa.

"Ia bukan sahaja tentang strategi tetapi juga bergantung kepada keadaan semasa, bukan sahaja di pihak kita, pihak lawan juga mempengaruhi serta faktor-faktor lain termasuk kempen,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pajakan tanah antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan SRM Utama Selambau Sdn Bhd bagi pembangunan loji tenaga solar berskala besar di sini pada Khamis.

Iklan

Muhammad Sanusi jelaskan, keterbukaan rakyat dan pengundi, prestasi serta jangkaan masa depan turut mempengaruhi tindakan politik termasuk pengundi.

"Politik tidak statik, bergantung pada keadaan semasa dan banyak faktor. Rakyat juga akan membuat penilaian semula mengenai apa yang berlaku, mana janji yang 'dicapati', jadi tak kan pula nak sokong lagi.

Iklan

"Nak menang pilihan raya tak perlukan strategi semata-mata, faktor luaran turut menyumbang secara tidak langsung.

"Contohnya, semua orang tahu isu beras putih tempatan, tiba-tiba tiada bekalan dan bila rakyat bising, tiba-tiba pula bekalan ada. Rakyat boleh nilai semua itu,” ujarnya.

Menteri Besar Kedah itu yakin isu-isu nasional mahupun setempat juga akan mempengaruhi pengundi di DUN Ayer Kuning.

"Insya-ALLAH akan ada perubahan besar. Saya percaya sekarang orang mahu berikan mesej jelas kepada Kerajaan Perpaduan.

"Dulu Kedah pun Pas kalah, selepas kita menang tak pernah kalah dah. Itu menunjukkan politik sentiasa berubah.

"PN akan berusaha dan berdoa agar politik di Ayer Kuning akan berubah. Harus diingat, ada tempat menang boleh kalah dan ada tempat kalah pula boleh menang,” katanya lagi.

Pas sebelum ini pernah bertanding di kerusi berkenaan sebanyak lima kali sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), namun semuanya berakhir dengan kekalahan.

Pada PRU15, Allahyarham Ishsam Shahruddin mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (PH) (6,875), Perikatan Nasional (PN) (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.

Kekosongan kerusi berkenaan berlaku susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.