Pindah pengundi tak semestinya menang, banyak faktor lain - Sanusi

Iklan
Sanusi Sanusi
Sanusi

ALOR SETAR - Perpindahan pengundi ke mana-mana negeri tidak semestinya memberi kemenangan kepada parti terbabit mahupun mempengaruhi sokongan undi negeri terlibat.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana ia bergantung kepada senario politik yang sentiasa berubah serta pelbagai faktor lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mungkin strategi tersebut berkesan pada masa kini namun tidak menjanjikan kemenangan pada masa akan datang.

"Pengundi luar Kedah tak seramai Kelantan. Dianggarkan pengundi PN dari Kedah yang berada di Lembah Kelang sekitar 3,000 orang.

Iklan

"Katakanlah PN kurang 3,000 pengundi di Kedah, ia tidak menjejaskan lagi cuma taburan itu perlu dilihat coraknya, jika taburan sekata tiada masalah, kalau 3,000 itu hanya dari satu kawasan parlimen tak boleh lah, tapi tak mungkin berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pajakan tanah antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan SRM Utama Selambau Sdn Bhd bagi pembangunan loji tenaga solar berskala besar di sini pada Khamis.

Iklan

Sanusi berkata, penilaian masa kini tidak boleh disamakan dengan penilaian akan datang khususnya dalam politik yang tidak statik.

"Saya andaikan kalau 3,000 pengundi Kedah tak akan terjejas, untuk Kelantan juga serupa, tetapi unjuran itu untuk keadaan sekarang.

"Politik sentiasa berubah, pada masa depan mungkin kemenangan itu menjadi tipis, jadi ia akan jejaskan kecuali di kawasan yang menang majoriti besar,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini terdapat kerusi di Kelantan hanya menang tipis dengan perbezaan dua undi, dan keadaan itu akan menyebabkan keputusan terjejas sekiranya pengundi tidak pulang mengundi.

"Contoh di Kelantan, menang dua undi sahaja, sangat tipis, ia akan jejaskan undi sekiranya pengundi berdaftar tak balik mengundi,” ujarnya.

Pada Rabu, Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor menyifatkan seruan Pas agar pengundi memindahkan alamat ke negeri itu sebagai tindakan terdesak bagi meraih sokongan dalam pilihan raya akan datang.

Timbalan Pengerusinya, Azli Yusof berkata, tindakan Pas itu jelas menunjukkan parti tersebut tidak yakin dengan sokongan rakyat di Selangor dan terpaksa bergantung kepada strategi luar biasa bagi meningkatkan peluang mereka.

Terdahulu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri dilaporkan menyeru penyokong Pas untuk memindahkan alamat mereka ke Selangor bagi mengukuhkan peluang parti itu dalam pilihan raya akan datang.