Pas relevan sepanjang masa, syarak sebagai panduan - Sanusi

Iklan
Sanusi Sanusi
Sanusi

ALOR SETAR - Pas sentiasa relevan sepanjang masa kerana parti itu berteraskan politik Islam dan menjadikan syarak sebagai garis panduan dalam merencana hala tuju parti.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sekiranya parti itu perlu dijenamakan semula mengikut peredaran zaman atau perubahan politik, ia masih tertakluk pada ketetapan syarak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, parti yang berpaksikan Islam akan sentiasa relevan sehingga akhir zaman.

"Pas tetap relevan sepanjang masa, jika kita berpandukan pada syarak, kita akan relevan daripada zaman Nabi Adam sehingga hari kiamat, jangan takut.

Iklan

"Sekiranya perlu dijenamakan semula, Pas perlu melihat pada ketetapan syarak agar tidak menyimpang daripada prinsip dan teras itu kerana kita parti politik Islam. Rujukan kita berpandukan al-Quran, hadis, Ijmak dan Qiyas,” katanya pada Khamis.

Sanusi berkata, mereka yang berasakan Pas tidak lagi relevan tentunya dipengaruhi dengan anasir-anasir lain.

Iklan

"Pas akan berperanan sebagaimana pada hari pertama ditubuhkan dan meneruskan perjuangan yang diwariskan daripada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul dalam menggerakkan dakwah dan tarbiyah. Salah satu medan adalah politik Islam dan ini yang kita sedang lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Pas perlu dijenamakan semula menjelang pemilihan parti akan datang.

Ia susulan kenyataan penganalisis ekonomi, Dr Mohd Azwardi Md Isa bahawa Pas perlu dijenamakan semula sebagai sebuah parti berinovasi, prihatin kepada rakyat serta berwawasan agar kekal relevan bagi meyakinkan rakyat parti itu mampu mentadbir negara.

Katanya, keadaan politik sentiasa berubah mengikut keadaan semasa, kehendak rakyat serta faktor ekonomi dan sosial menyebabkan pemimpin, dasar dan ideologi perlu berubah seiring peredaran zaman.

Disebabkan itu, katanya, Pas perlu merangka satu pelan ekonomi menyeluruh meliputi aspek sains, kemasyarakatan, undang-undang, pertanian, perdagangan selain mampu menyelesaikan permasalahan rakyat.

Sanusi tegaskan, biarpun berpolitik, Pas tetap selari dengan perjuangan Islam menerusi proses tarbiah dan pendidikan seterusnya memasuki pilihan raya untuk menubuhkan kerajaan, yang juga sebahagian daripada syarak.

"Jika bab ekonomi, kita ada pakar-pakar ekonomi malah ahli sukan tersohor. Di peringkat antarabangsa, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang merupakan tokoh besar dalam isu-isu antarabangsa.

"Penulisan beliau hebat dan memainkan peranan dalam wujudkan keamanan di negara-negara Islam, seperti Yemen, Afghanistan dan negara bergolak lain, cuma orang saja tak tahu.

"Kenali siapa dalam Pas, baru boleh kenal Pas. Parti ini ada terasnya (Islam) saya pun bercakap kalau menyimpang dari teras, tak boleh diambil kira,” katanya.