ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki bersama dua kanak-kanak berdepan detik cemas apabila kedai emasnya disamun lelaki bersenjatakan pistol mainan dan melarikan barang kemas bernilai RM250,000 di Bangunan Arked MARA, Kuala Sungai Baru, di sini, pada petang Khamis.
Dalam kejadian lebih kurang jam 2.20 petang, mangsa berusia 43 tahun bersama anaknya masing-masing berusia 10 dan tujuh tahun berada di dalam kedai itu sebelum didatangi suspek yang berpakaian hitam dan menutup muka dengan menggunakan topi keledar.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden, Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian mangsa sedang leka bermain telefon bimbit dan tidak menyedari kehadiran suspek ke dalam kedai emas itu.


Menurutnya, suspek kemudian mengacukan sepucuk pistol ke arah mangsa menyebabkan lelaki itu terus melarikan diri masuk ke dalam pejabat bersama anak-anaknya.
Katanya, ketika berada di pejabat, mangsa mendengar bunyi kaca dipecahkan sebanyak satu kali dan keadaan kembali senyap.
"Mangsa kemudian keluar dari pejabat dan melihat kaca pameran telah dipecahkan.
"Lebih kurang dua dulang rantai emas yang mengandungi 50 utas rantai tangan emas pelbagai berat telah dilarikan dengan anggaran kerugian lebih kurang RM250,000," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Tambahnya, terdapat saksi awam yang ternampak suspek yang dipercayai bergerak solo itu dengan mengenakan pakaian berwarna hitam masuk ke dalam kedai emas itu dalam keadaan mencurigakan.
Ujarnya, saksi juga terdengar kaca dipecahkan sebelum melihat suspek bergegas keluar dari kedai dan melarikan diri dengan sebuah motosikal yang diletakkan di hujung kedai.
"Dengan bantuan Bahagian Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka berjaya menemui tiga cap jari dan sepucuk pistol plastik berwarna hitam yang ditinggalkan di lantai kedai.
"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06 - 5562222," katanya lagi.
Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.