SHAH ALAM - Kadar dividen Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2024 dijangka meningkat berbanding tahun lalu, didorong oleh prestasi memberangsangkan pasaran saham tempatan dan faktor ekonomi semasa.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, peningkatan hampir 10 peratus dalam pasaran saham Malaysia bagi tahun 2024 antara penyumbang utama kepada prospek positif dividen TH.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi semasa negara dan global selain kestabilan kadar faedah melalui pengekalan kadar dasar semalaman (OPR) turut mendorong sentimen pelaburan yang baik serta menjanjikan pulangan keuntungan lebih tinggi kepada TH.
"Faktor lain yang turut menyokong potensi kenaikan dividen adalah peningkatan jumlah pendeposit TH yang kini mencecah hampir 9.3 juta dengan jumlah simpanan sekitar RM90 bilion.
"Dana yang besar ini seterusnya dikembangkan dan disalurkan ke pelaburan dalam serta luar negara berlandaskan prinsip syariah, sekali gus memberi jaminan kepada pulangan pelaburan yang mampan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
TH sebelum ini mengumumkan kadar agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan 2023, mengekalkan rekod yang sama selama empat tahun berturut-turut.
Tambah Bashir Ahmad, prestasi TH dijangka berdepan cabaran terutama dari segi menanggung kos pengoperasian susulan peningkatan kos mengerjakan haji bagi tahun 2025.
"Biarpun sebahagian kos ditanggung kerajaan melalui subsidi, beban kewangan tetap akan memberi kesan kepada kecairan aliran tunai TH. Perkara itu penting bagi memastikan dana mencukupi untuk tujuan pengeluaran, pelaburan dan mengimbangi kecairan serta susut nilai aset sedia ada.
"Pengurusan aliran tunai perlu diberi perhatian agar TH kekal utuh dan mampu memenuhi keperluan pendeposit,” ujarnya.