Bersih jangan cari publisiti, SPR ada 60 hari tentukan tarikh PRN selepas bubar

Iklan
Nizam Abu Bakar Nizam Abu Bakar
Nizam Abu Bakar

KOTA KINABALU - Terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan, kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Menurut beliau, SPR mempunyai tempoh yang panjang, iaitu 60 hari, bagi menentukan tarikh selepas DUN Sabah dibubarkan, dan gesaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk mengumumkan pembubaran DUN lebih awal tidak sepatutnya dibangkitkan.

Iklan
Iklan

"Pada pandangan peribadi saya, perkara itu sebenarnya tidak berbangkit kerana kita semua sedia maklum bahawa apabila pengumuman pembubaran dibuat, SPR mempunyai 60 hari untuk menentukan bila tarikh sesuai mengadakan pilihan raya.

"Supaya perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkaitan pengundi perlu masa untuk pulang mengundi dan sebagainya tidak sepatutnya berbangkit," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di sini, pada Rabu.

Iklan

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan Bersih supaya Hajiji mengumumkan tarikh rasmi PRN Sabah lebih awal bagi memastikan pengundi Sabah yang berada di luar negeri untuk bekerja atau belajar dapat membuat persiapan merancang perjalanan pulang demi menunaikan hak masing-masing.

Jelas beliau lagi, keputusan untuk membubarkan dewan adalah hak prerogatif kerajaan sedia ada dan Ketua Menteri mempunyai kuasa tersebut.

Iklan

"Jadi, kita percaya dan yakin dengan budi bicara yang ada kepada Ketua Menteri untuk membuat keputusan yang terbaik dan sesuai.

"Bila difikirkan perlu, maka beliau akan bubar dan itu pun dengan persetujuan daripada Tuan Yang Terutama (TYT)," katanya.

Nizam berkata lagi, perkara itu dilihat sengaja dibangkitkan oleh pihak yang inginkan publisiti semata-mata.