Lebih 2.6 juta kampit beras putih tempatan sudah diedar di pasaran - Mohamad Sabu

Iklan
Datuk Seri Mohamad Sabu Datuk Seri Mohamad Sabu
Datuk Seri Mohamad Sabu

TAPAH - Lebih 2.6 juta kampit beras putih tempatan sudah diedarkan di pasaran seluruh negara setakat ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, pengedaran beras bersubsidi berharga RM26 bagi pek 10 kilogram itu melibatkan 21,190 premis runcitan termasuk pasar raya dan kedai runcit.

Iklan
Iklan

"Kita telah keluarkan 2,621,248 kampit beras. Ada tempat dah sampai misalnya kalau di bandar-bandar, hampir semua supermarket dan mini market sudah ada (bekalan).

"Hanya di beberapa kawasan pedalaman, didapati bekalan beras putih tempatan ini belum sampai," katanya ketika sidang akhbar sempena program Libat Urus Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Pemimpin Peladang Negeri Perak di pekarangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tapah di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Fauzi Badron.

Mohamad berkata, seluruh jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digerakkan bagi memastikan semua bekalan beras itu sampai kepada sasaran.

Iklan

Katanya, langkah sama dilakukan terhadap pengedar dan pembekal supaya menyegerakan edaran beras ke kawasan-kawasan pedalaman.

"Dalam hal ini, kita harap PPK dapat bantu mainkan peranan kesan mana (bekalan) yang belum sampai, kita segerakan.

"Di bandar sekarang ini, beras putih tempatan bukan jadi rebutan pun (kerana) bagi mereka yang di kelas pertengahan ini, harga beras RM32, RM33 dan RM26... buatkan mereka tak berapa peduli sangat.

"Jadi bekalan beras putih ini mesti digerakkan lebih kepada kampung-kampung kerana mereka memerlukan harga yang lebih rendah," katanya.

Februari lalu, media melaporkan KPKM memberi jaminan 24 juta beg 10 kilogram beras putih tempatan bersubsidi akan berada di pasaran seluruh Semenanjung.

Pembelian itu dihadkan kepada dua kampit setiap bulan bagi 400,000 ketua isi rumah (KIR) miskin dan dijual pada harga RM26.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, Mohamad turut menyampaikan cek cura bernilai RM573,920 kepada 43 penerima di bawah Program Pembangunan Industri Buah-buahan, Kelapa dan Tanaman Kopi daerah Batang Padang bagi tahun 2025.

Turut disampaikan peruntukan Program Pembangunan Industri Sayur-sayuran, Tanaman Kontan dan Bawang Merah kepada 56 penerima bantuan berjumlah lebih RM1.37 juta.

Seramai 63 orang kalangan ahli peladang pula menerima zakat wakalah dan sumbangan bakul makanan daripada Nafas.