Subadron nampak bayangan dirinya dalam Arif Aiman

Iklan
Subadron mengakui melihat Arif Aiman Mohd Hanapi, yang disifatkan sebagai pemain terbaik negara pada masa ini sebagai bayangan dirinya ketika muda. Subadron mengakui melihat Arif Aiman Mohd Hanapi, yang disifatkan sebagai pemain terbaik negara pada masa ini sebagai bayangan dirinya ketika muda.
Subadron mengakui melihat Arif Aiman Mohd Hanapi, yang disifatkan sebagai pemain terbaik negara pada masa ini sebagai bayangan dirinya ketika muda.

BEKAS pemain bola sepak Kuala Lumpur, Datuk Subadron Abdul Aziz mengakui melihat Arif Aiman Mohd Hanapi, yang disifatkan sebagai pemain terbaik negara pada masa ini sebagai bayangan dirinya ketika muda.

Subadron berkata, pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memiliki keupayaan membaca permainan, mengawal bola dengan kemas dan kelincahan luar biasa yang mampu memberi ancaman berterusan kepada benteng pertahanan lawan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dengan usia yang masih muda, potensi pemain berusia 22 tahun itu untuk berkembang lebih jauh amat besar dan tidak mustahil beliau bakal menjadi tunjang utama Harimau Selatan dan skuad kebangsaan dalam misi menyaingi kehebatan gergasi bola sepak Asia.

"Arif Aiman berani dan pandai main bola, maksudnya dia tahu macam mana setiap situasi dalam permainan. Kalau nak main bola stamina kena nombor satu, nombor dua kena pandai main (pintar). Kalau stamina tak ada, baru gelecek pemain dua kali dah pancit, nak gelecek tiga empat macam mana?

Iklan

"Saya tengok dia (Arif Aiman) senang cakap dia macam saya main dulu, bijak dan laju, nak main penyerang kalau tak laju tak boleh. Bila kita laju dan ada teknik yang bagus, orang tak boleh pukul (jatuhkan) kita tapi kalau tak bagus senang-senang kena pukul,” katanya kepada Bernama.

Subadron antara tonggak yang membantu kejayaan Kuala Lumpur menjuarai Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut dari 1987 hingga 1989.

Iklan

Arif Aiman membuktikan dirinya sebagai antara permata paling bernilai dalam bola sepak Malaysia dengan prestasi cemerlang bersama JDT selepas meledakkan tujuh gol dalam kempen Liga Super dan lima gol dalam saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Elite (ACL Elite).

Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan tiga tahun berturut-turut itu bukan sahaja menjadi nadi jentera serangan Harimau Selatan, malah kebolehannya mencipta peluang serta menjaringkan gol menjadikannya aset penting dalam saingan Liga Super dan skuad kebangsaan.

Kelibat Arif Aiman dijangka menjadi tumpuan pada perlawanan pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Nepal yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Selasa depan.

Sementara itu, Subadron mencabar semua pemain tempatan untuk menyerlahkan kehebatan sebenar bagi menyaingi dan menembusi kelompok terbaik dunia.

"Semua orang boleh main bola tapi tak semua pandai main. Kalau tak pandai main bola memang tak boleh nak bersaing di peringkat antarabangsa dengan pemain-pemain luar yang pandai-pandai.

"Bola sepak dunia dan Asia sudah terlampau maju, dengan banyaknya kejohanan berprestij dan padang semakin canggih. Kalau pemain masih nak salahkan padang dan hal-hal lain susah lah, sedangkan dia nak rebut, tahan dan terima bola pun masih tak betul,” kata pemilik Subadron Football Academy itu. - Bernama