KUALA LUMPUR - Ketika negara-negara menutup sempadan mereka bagi penumpang terutamanya dari negara-negara yang dilanda wabak Covid-19, syarikat penerbangan mula merasai kesannya dengan Malindo Air yang berpangkalan di Malaysia nampaknya seperti berdepan dengan kekangan aliran tunai.
Sesetengah syarikat penerbangan mengumumkan langkah mengurangkan kos seperti potongan gaji bagi pengurusan dan kru kabin, manakala yang lain mengurangkan sasaran pertumbuhan dan penumpang.
Di Malaysia, Malindo Air nampaknya menjadi syarikat penerbangan pertama mendedahkan ‘inisiatif pengurangan kos’ berkaitan dengan Covid-19, nama rasmi bagi novel Koronavirus 2019 yang diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dalam satu memo dalaman yang diperoleh Bernama yang tercatat nama Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Kapten Mushafiz Mustafa Bakri di dalamnya, menyatakan bahawa syarikat penerbangan itu terpaksa mengurangkan banyak laluan penerbangan berjadual berikutan cabaran operasi yang disebabkan oleh Covid-19.
Seterusnya selepas menyebut"inisiatif pengurangan kos untuk kekal bertahan”, memo bertarikh 7 Februari 2020, itu mencatatkan"Ini, seterusnya telah menyebabkan kekangan besar dalam aliran tunai kita.”
Memandangkan keadaan ini, Malindo Air terpaksa membuat pembayaran berperingkat bagi gaji Februari 2020, kata memo itu.
Menurut memo itu lagi, kesemua kakitangan dengan gaji kasar RM5,000 ke bawah akan dibayar penuh hari ini tetapi bagi yang dengan gaji kasar atau asas lebih daripada RM5,000 akan hanya mendapat gaji asas dan bakinya akan dibayar pada 7 Mac 2020.
Usaha untuk menghubungi Malindo Air bagi penjelasan selanjutnya berhubung perkara itu tidak berjaya.
Begitu juga, Thai Airways pada Rabu mengumumkan potongan gaji bagi pengurusan dengan pengurusan kanannya secara sukarela mengurangkan gaji mereka sebanyak 25 peratus bagi tempoh enam bulan bermula Mac.
Inisiatif itu diambil bagi mengurangkan kerugian daripada kesan penurunan penumpang susulan penularan wabak tersebut, demikian menurun laporan berita.
Sementara itu, syarikat penerbangan nasional Hong Kong Cathay Pacific Airways mengurangkan penerbangannya susulan Covid-19 dan mengunjurkan penurunan keuntungannya bagi tahun ini.
Syarikat penerbangan itu juga meminta kakitangannya mengambil cuti tanpa gaji untuk mengurangkan perbelanjaan operasi kerana ia berkemungkinan akan berdepan gangguan pada bulan-bulan akan datang.
Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia pula telah membatalkan beberapa penerbangan terpilih ke China, Korea Selatan dan Taiwan memandangkan kebimbangan kesihatan berikutan penularan Covid-19 dan menawarkan bayaran balik penuh.
Firma penyelidikan CGS-CIMB Research, dalam nota penyelidikannya menjangkakan kumpulan penerbangan itu mungkin mencatatkan kerugian bersih teras RM1.1 bilion susulan permintaan dan hasil rendah di Malaysia, Thailand dan Filipina, memandangkan penerbangannya yang banyak ke China, Hong Kong dan Macau.
Syarikat penerbangan tempatan lain, Malaysia Airlines, membenarkan pembatalan dengan bayaran balik penuh serta perubahan tiket percuma bagi penerbangan ke dan dari tanah besar China.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengumumkan penilaian awal impak Covid-19 menunjukkan potensi 13 peratus kerugian tahun penuh permintaan penumpang bagi syarikat penerbangan di rantau Asia Pasifik.
Memandangkan pertumbuhan syarikat penerbangan rantau ini diunjurkan pada 4.8 peratus, kesan bersih dijangkakan penguncupan tahun penuh pada 8.2 peratus berbanding paras permintaan 2019.
"Dalam senario ini, ia akan membawa kepada kerugian hasil AS$27.8 bilion pada 2020 bagi syarikat penerbangan di rantau Asia-Pasifik sebahagian besarnya akan ditanggung oleh syarikat penerbangan yang berdaftar di China, dengan kerugian AS$12.8 bilion di pasaran China sahaja,” kata IATA, yang mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan terdiri daripada 82 peratus trafik udara global. - Bernama