PORT DICKSON – Kecewa kerana tidak dibenarkan berniaga menggunakan motosikal, seorang lelaki bertindak membuang kesemua barang jualannya di jalan raya sebagai tanda protes.
Menerusi video tular, kejadian tersebut dipercayai berlaku berhampiran sebuah pasar raya di daerah ini.
Lelaki itu, dalam nada marah, mempertikaikan tindakan dua penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang melarangnya berniaga di lokasi tersebut.
"Bukan sekadar mencari barang dapur, malah nak cari sesuap nasi di negara sendiri pun susah,” katanya dalam rakaman tersebut.
Dia turut meluahkan rasa kecewa dengan menyatakan bahawa dia tidak berniaga sepanjang masa di situ dan mempersoalkan sama ada dia perlu melakukan jenayah jika tidak dibenarkan mencari rezeki dengan cara yang halal.
Dalam video lain yang turut tular, kelihatan orang ramai mengutip petai yang dibuang dan meletakkannya semula ke dalam bakul motosikal lelaki berkenaan. Namun, dia sekali lagi bertindak membuangnya ke dalam longkang, menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan penguat kuasa.
Perkongsian video tersebut mengundang pelbagai reaksi warganet, dengan majoriti meluahkan rasa simpati terhadap lelaki itu.
Ada juga netizen yang meminta MPPD menggunakan budi bicara kerana lelaki tersebut bukan berniaga dengan mendirikan khemah di tepi jalan, sebaliknya hanya menjual barangan menggunakan motosikal.
Sementara itu, Sinar Harian telah cuba mendapatkan kenyataan lanjut daripada MPPD, namun setakat ini masih belum menerima sebarang maklum balas.