SEREMBAN - Negeri Sembilan menerusi Pelan Pengurusan Kewangan Madani dalam tempoh lima tahun meletakkan sasaran mencapai hasil RM1 bilion menjelang 2030.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, angka itu bukan sekadar impian sebaliknya mampu dicapai berdasarkan rekod pencapaian yang telah dibuktikan sepanjang tempoh pentadbiran.
"Sebagai contoh, Negeri Sembilan merekodkan pertumbuhan positif KDNK sebanyak 1.8 peratus pada 2023 dengan nilai RM51.9 bilion berbanding RM50.9 bilion tahun 2022.
"Kadar pengangguran di Negeri Sembilan juga menurun 0.2 peratus kepada 3.2 peratus pada 2023 berbanding 3.4 peratus pada tahun sebelumnya.
"Begitu juga dengan usaha membasmi kemiskinan tegar merekodkan Negeri Sembilan antara negeri yang berjaya mencapai sifar miskin tegar pada tahun 2023 dan 2024," katanya pada Jelajah Taat Setia Madani peringkat Negeri Sembilan pada Jumaat.
Majlis perasmian berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Seremban itu dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau menjelaskan, bagi mencapai cita-cita RM1 bilion itu, kerajaan negeri telah menggariskan 49 inisiatif dan strategi untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dari 2025 hingga 2030.
"Kerajaan negeri juga sedang mengenai pasti sumber yang boleh ditambah baik selain melaksanakan perancangan pelan dirangka itu dalam masa terdekat.
"Pelan Pengurusan Kewangan Madani ini dirangka di peringkat kerajaan negeri dan melalui sumber yang ada diharap dapat memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Untuk rekod, hasil negeri tahun lalu adalah sebanyak RM636 juta bersamaan 122.31 peratus berbanding RM520 juta sasaran awal ditetapkan.
Melalui kutipan itu, menjadikan Negeri Sembilan berjaya mencatat rekod surplus bagi tiga tahun berturut-turut.