PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski, masih belum memuktamadkan senarai akhir 23 pemain bagi aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa ini.
Menurutnya, pemilihan pemain bergantung kepada prestasi semasa dan kesesuaian dengan falsafah permainan yang diterapkannya.
"Setakat ini, saya masih belum membuat keputusan mengenai siapa yang akan digugurkan. Kriteria utama adalah kualiti dan sumbangan mereka dalam membentuk pasukan yang saya mahukan.
"Saya mahu perlawanan menentang Nepal menjadi penanda aras kepada pasukan. Walaupun kami belum sempurna, kami akan turun dengan penuh semangat dan memberikan kegembiraan kepada penyokong,” katanya.
Cklamovski juga menegaskan bahawa pemain yang tidak terpilih tidak akan dihantar pulang, sebaliknya akan terus bersama skuad kebangsaan sepanjang kempen ini.
"Kami adalah satu pasukan, satu keluarga, satu negara. Saya tidak mahu ada pemain yang rasa tersisih kerana sokongan mereka tetap penting walaupun tidak tersenarai dalam skuad utama,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap dapat menggunakan Natxo Insa dalam aksi menentang Nepal. Namun, pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) berusia 39 tahun itu masih menjalani sesi pemulihan individu selepas melalui jadual padat bersama kelabnya.
"Jika dia dapat kembali berlatih bersama pasukan dalam masa terdekat, ia sesuatu yang baik; tetapi, saya akan menilai keadaannya sebelum membuat keputusan akhir,” jelasnya.